PERKEMBANGAN pesat pembangunan sama ada dari segi ekonomi dan sebagainya membawa pelbagai perubahan. Antaranya, jalan raya yang ditutup di sebabkan pembinaan naik taraf lencongan menyebabkan sebahagian jalan raya lama tidak digunakan lagi.
Contoh seperti di jalan utama menghubungkan Mentakab dan Temerloh yang dinaik taraf ke jalan empat lorong pada awal 2000. Begitu juga jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Mentakab dari simpang Taman Bukit Mentakab hingga ke Balai Bomba Mentakab arah ke bandar. Begitu juga jalan utama yang menghubungkan Raub ke Kuala Lipis. Ini bermakna terdapat sebidang tanah kosong kerajaan negeri yang mungkin boleh dibangunkan untuk pelbagai tujuan selain jalan raya setelah pewartaan jalan di batalkan.
Kebanyakan jalan raya ini di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi jalan yang di bawah pengendalian agensi berkenaan. Oleh kerana keluasan tanah setiap negeri dan daerah kebanyakannya tidak berubah dan tidak bertambah maka, adalah lebih elok tanah seperti ini digunakan semula.
Dicadangkan jalan raya yang sudah tidak digunakan lagi mungkin boleh dibatalkan pewartaannya sebagai rizab jalan. Apabila pembatalan warta (degazetment) di buat maka tanah ini sepatutnya bertukar status sebagai tanah kerajaan dan dimaklumkan kepada pentadbiran tanah daerah atau negeri. Dalam erti kata lain ia adalah tanah kosong kerajaan negeri.
Pihak berwajib sama ada kerajaan negeri dan JKR sepatutnya tidak membiarkan perkara ini berterusan kerana ia merupakan satu pembaziran tanah dan hasil cukai kepada kerajaan negeri. Ini adalah kerana sesetengah jalan raya yang di tutup berada di kawasan yang sangat strategik dan sudah pasti bernilai tinggi.
Kerajaan negeri sepatutnya menggunakan tanah yang kebanyakannya strategik ini untuk faedah rakyat seperti pembinaan rumah mampu milik sekiranya mempunyai keluasan yang munasabah atau membina bangunan komersial untuk dijual dengan harga yang berpatutan. Tanah tersebut juga boleh dimohon oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkaitan.-UTUSAN
CICIT AKI BAJI
Mentakab, Pahang










