Pendidikan yang berasaskan kasih sayang dan penghargaan merupakan salah satu daripada cara untuk menunjukkan perasaan berterima kasih serta bukti dalam memastikan nilai karamah insaniah dapat direalisasikan dalam realiti kehidupan.
Pelan pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) yang menerapkan elemen karamah insaniah adalah bagi mewujudkan nilai-nilai kemanusiaan yang jauh lebih tinggi dalam memartabatkan kemulian insan.
Harapan tinggi dan menggunung oleh setiap ibu bapa adalah agar setiap murid belajar tentang elemen manusiawi selama belajar di sekolah.
Membina keyakinan diri setelah tamat sesi pembelajaran di sekolah rendah adalah suatu proses yang perlu dilakukan secara berterusan dengan mempersiapkan setiap individu dari segi mental dan fizikal. Murid dapat menetapkan sasaran yang realistik serta dapat dicapai. Ini akan membantu mereka untuk merasa lebih yakin dalam menghadapi cabaran di masa hadapan.
Keyakinan diri juga dapat membantu mereka agar mencapai sesuatu yang diinginkan. Murid-murid perlu mengamalkan sikap positif terhadap diri sendiri agar mereka lebih yakin dan optimis tentang masa hadapan.
Untuk menghadapi cabaran yang bakal mendatang, membina keyakinan diri memerlukan usaha dan kesabaran. Murid juga perlu berusaha secara berterusan dan meluangkan masa untuk mengenal diri. Dengan usaha dan kesabaran, murid dapat membina keyakinan diri yang lebih kukuh serta mampu menghadapi cabaran hidup di masa hadapan dengan lebih positif dan yakin.
Dalam pada itu, kemahiran interpersonal melalui pelbagai bentuk latihan dan kemahiran membantu berinteraksi dengan rakan sebaya, guru dan individu lain dalam persekitaran kehidupan sebagai pelajar di sekolah dan masyarakat. Kemahiran karamah insaniah dapat membantu pelajar untuk memperbaiki kemahiran interpersonal selain mampu bekerja secara berkumpulan.
Oleh itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan organisasi penting untuk menyokong apa jua program oleh pihak sekolah. Tidak terhad dengan aktiviti yang dirancang, PIBG turut menjadi medium perantara antara sekolah dan beberapa agensi kerajaan bagi mewujudkan lebih suasana harmonis kepada warga sekolah tanpa mengira perbezaan dan latar belakang.
Sokongan pelbagai pihak dapat memberikan peluang yang lebih lagi kepada murid untuk menimba pengalaman dan pengetahuan. Sokongan pelbagai pihak perlu diwujudkan kerana pada masa kini, usaha yang diwujudkan KPM sangat luas konteks dan peranannya. Usaha sedemikian akan menjadikan nilai karamah insaniah yang di bawa kerajaan dapat direalisasikan secara realiti.-UTUSAN
MOHD. NASIR ZAKARIA
Pengerusi Kelab Sukan Dan Rekreasi
The Musketeers










