DALAM era globalisasi dan kemajuan teknologi kini, kepentingan inovasi dalam pendidikan semakin terserlah. Setiap sekolah disarankan mewujudkan makmal inovasi bagi memberi peluang kepada pelajar yang berminat untuk mencipta dan mengembangkan idea baharu.
Langkah ini selaras dengan Dasar Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara.
Kemudahan makmal inovasi yang terancang akan membantu pelajar meningkatkan kemahiran praktikal, seterusnya melahirkan generasi pencipta yang mampu membawa kemajuan kepada negara.
Kehadiran makmal ini akan menyediakan ruang dan peluang kepada pelajar untuk meneroka minat dalam bidang inovasi. Dengan bimbingan yang tepat, mereka boleh mempelajari cara mengembangkan idea menjadi ciptaan yang berfungsi.
Selain itu, pelajar juga dapat memanfaatkan teknologi terkini dan sumber maklumat. Ini bukan sahaja dapat menambah ilmu pengetahuan, malah memberi inspirasi untuk mencipta sesuatu yang berguna dan relevan dalam kehidupan masyarakat.
Dalam pada itu, makmal inovasi juga dapat menjadi tempat untuk pelajar memahami konsep sains dan teknologi secara praktikal. Ramai pelajar berpotensi dalam bidang ini tidak berpeluang untuk mengasah kemahiran disebabkan kekurangan kemudahan yang sesuai di sekolah. Oleh itu, kewujudan makmal ini akan memberi akses kepada kemudahan-kemudahan seperti peralatan teknologi terkini dan bahan-bahan yang diperlukan. Ini akan memberikan mereka peluang untuk mengasah kemahiran mereka dalam persekitaran yang lebih kondusif dan profesional.
Di samping itu, makmal inovasi boleh menjadi wadah bagi pelajar mengembangkan minat dalam bidang STEM dan TVET secara lebih mendalam. Aktiviti yang dijalankan di makmal seperti bengkel, eksperimen dan projek khas, akan memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai cabang-cabang sains dan teknologi. Ini bukan sahaja memupuk minat tetapi juga memberi pemahaman yang lebih jelas mengenai kepentingan bidang STEM dan TVET dalam pembangunan negara.
Untuk menjayakan program ini, adalah wajar sekiranya pelajar yang menyertai program makmal inovasi ini diberi kelonggaran dalam aktiviti kokurikulum. Ini kerana penglibatan dalam inovasi memerlukan masa dan usaha yang lebih, terutama apabila melibatkan penyelidikan dan pembangunan projek. Dengan mengurangkan bebanan kokurikulum, pelajar dapat memberi fokus yang lebih terhadap projek inovasi, seterusnya membolehkan mereka mencapai hasil yang lebih berkualiti.
Langkah pengurangan aktiviti kokurikulum ini juga boleh menjadi insentif yang menarik lebih ramai pelajar untuk terlibat dalam program makmal inovasi. Ramai pelajar berminat dalam bidang STEM dan TVET tetapi terhalang kerana masa yang terhad untuk terlibat secara mendalam. Kelonggaran ini akan memberi ruang untuk meluangkan masa dengan lebih produktif sambil meneroka kemahiran baharu tanpa perlu mengabaikan pelajaran akademik.
Dalam konteks lebih luas, makmal inovasi ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, malah kepada sekolah dan masyarakat. Sekolah yang mempunyai pelajar yang berbakat dan berjaya menghasilkan ciptaan bernilai boleh mendapat pengiktirafan dan menaikkan nama institusi tersebut. – UTUSAN
AZIZUL ASYRAF MD. HELMI
Sekolah Menengah Kebangsaan
(SMK) Dato’ Sulaiman,
Parit Sulong, Johor










