Universiti, industri perlu bekerjasama dalam bidang AI

Universiti, industri perlu bekerjasama dalam bidang AI

UNIVERSITI penyelidikan Malaysia telah diberi mandat untuk memfokuskan AI dalam bidang strategik masing-masing yang bersesuaian dengan keperluan industri dan komuniti setempat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERJASAMA antara universiti dan industri adalah komponen penting dalam memastikan impak tinggi hasil penyelidikan, terutama dalam bidang teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

AI kini menjadi salah satu pemacu utama inovasi global, dan penggabungan kepakaran akademik serta sokongan industri sangat penting bagi memaksimumkan potensi teknologi tersebut.

Kerajaan Malaysia yang turut menyedari kepentingan ini telah memperuntukkan RM50 juta kepada universiti penyelidikan pada tahun 2025, jumlah ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM20 juta. Langkah ini bertujuan untuk memperkukuh lebih lagi pendidikan dan penyelidikan AI di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pembentangan Belanjawan 2025, menekankan kepentingan kerjasama antara universiti dan industri perlu diperkukuhkan untuk memastikan hasil penyelidikan dapat memberi manfaat kepada masyarakat yang bukan sahaja bersifat inovatif tetapi juga relevan pada masa kini. Ini kerana, sokongan kewangan sahaja tidaklah mencukupi dalam usaha menjayakan sinergi ini.

Universiti penyelidikan Malaysia telah diberi mandat untuk memfokuskan AI dalam bidang strategik masing-masing yang bersesuaian dengan keperluan industri dan komuniti setempat.

Universiti Malaya (UM) dijadikan sebagai contoh terbaik kerana telah menumpukan AI dalam sektor perubatan.

Kerjasama dengan syarikat farmaseutikal dan perubatan akan mempercepatkan pembangunan penyelesaian inovatif yang dapat meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan.

Universiti Putra Malaysia (UPM) pula telah menubuhkan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia melalui kerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA). Universiti Sains Malaysia (USM) pula menumpukan kepada teknologi semikonduktor, selari dengan kedudukan Malaysia sebagai hab semikonduktor dunia.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerajui penyelidikan AI dalam bidang alih bahasa, khususnya dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Sehubungan itu, bagi memastikan kejayaan sinergi ini berjalan dengan lancar, beberapa langkah proaktif perlu diambil antaranya dengan meningkatkan kolaborasi penyelidikan antara universiti dan industri harus lebih fokus kepada cabaran kritikal dalam bidang masing-masing.

Selain itu, program latihan industri dan penempatan pelajar dalam syarikat-syarikat teknologi tinggi perlu diperluaskan untuk memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Penubuhan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama, seperti yang dilaksanakan oleh UPM dengan NACSA, dalam mempercepatkan inovasi dan memastikan penyelidikan relevan dengan keperluan industri.

Di samping itu, insentif kewangan dan geran penyelidikan perlu dipertingkatkan oleh kerajaan untuk menggalakkan lebih banyak lagi syarikat teknologi dalam menyertai projek bersama universiti.

Setiap projek penyelidikan juga harus diberikan penilaian berdasarkan impaknya kepada masyarakat, yang bukan sahaja melihat pada keuntungan kewangan. Hal ini kerana, dengan adanya sinergi yang semakin kukuh antara universiti dan industri, menandakan Malaysia berada pada landasan yang betul untuk menjadi peneraju global dalam teknologi AI, yang memacu kepada inovasi serta manfaat kepada masyarakat dan ekonomi negara. – UTUSAN

DR. NUUR ALIFAH ROSLAN
Pensyarah Kanan, Jabatan Multimedia Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×