SEBELUM ini tular video menyatakan Johor membosankan dan kurang destinasi pelancongan. Hal ini dinafikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang mana beliau menyatakan negeri itu sebenarnya mempunyai pelbagai khazanah dan pusat pelancongan yang boleh dibanggakan.
Pelbagai tarikan seperti taman negara, taman tema, muzium, galeri dan tapak ekopelancongan telah lama wujud. Begitu juga ada gugusan pulau tropika di Laut China Selatan dalam daerah Mersing.
Setiap pulau ini mempunyai daya tarikan tersendiri, menawarkan pengalaman yang unik bagi yang sukakan cabaran atau ingin bersantai serta mencari ketenangan.
Terdapat juga pulau yang mempunyai tempat bersejarah seperti rumah api di Pulau Pemanggil dibina pada 1914 dan gua besar Pulau Harimau.
Pulau Mensirip pula mempunyai replika mahkota Johor di dasarnya yang mana replika tersebut diletakkan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa perasmian Taman Dasar Laut Sultan Iskandar di bawah program Jelajah Pulau Sempena Kemahkotaan Sultan Johor 2015.
Perkhidmatan pesawat laut adalah satu konsep perjalanan inovatif yang boleh merevolusikan industri pelancongan di kepulauan tropika. Perkhidmatan ini akan menjadi koridor yang menghubungkan Johor Bahru dengan gugusan kepulauan indah ini dan ia berpotensi melonjakkan Johor sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Johor juga dinamakan sebagai bandar tuan rumah bagi Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025. Malah kerajaan menamakan Iskandar Malaysia sebagai zon ekonomi khas dengan Singapura. Johor juga sedang merangka peningkatan infrastruktur dan strategi promosi untuk program Tahun Melawat Johor 2026.
Ini akan menarik dan mengundang minat lebih ramai pengunjung di dalam dan luar negara untuk mengenali negeri itu.
Peningkatan minat pelancong merupakan berita baik buat penggiat industri pelancongan tempatan dan bakal memberi impak positif kepada ekonomi berasaskan pelancongan. Oleh itu, industri pelancongan Johor perlu mengambil kesempatan terhadap situasi ini untuk mendapatkan publisiti yang akan mendedahkan keistimewaan produk pelancongan Johor.
Perkhidmatan pesawat laut adalah satu anjakan paradigma yang boleh mengubah keadaan industri pelancongan gagasan kepulauan di negeri Johor ini. Dengan wujudnya perkhidmatan pesawat laut ini, kerajaan negeri tidak perlu membina lapangan terbang.
Pembinaan lapangan terbang di pulau-pulau kecil akan merosakkan ekosistem laut dan mencemarkan alam sekitar pulau. Selain itu, kos pembinaannya akan menjangkau jutaan ringgit.
Perkhidmatan ini menawarkan kelebihan yang tidak dapat dinafikan, namun kepentingan menjaga alam sekitar juga perlu didahulukan. Langkah-langkah kelestarian seperti menggunakan bahan api mesra alam serta mematuhi undang-undang alam sekitar penting untuk memastikan perkhidmatan ini beroperasi secara bertanggungjawab selain meminimumkan kesannya terhadap ekosistem alam sekitar laut dan pulau.
Perkhidmatan pesawat laut adalah satu inovatif yang perlu diwujudkan segera. Perkhidmatan yang dicadangkan ini lebih daripada sekadar pilihan perjalanan yang efisien, tetapi evolusi yang akan mengubah konsep perjalanan ke gugusan pulau Johor pada masa hadapan. Ia juga akan memberi pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada pelancong.-UTUSAN
MOHAMED ISMAIL PAKIR MOHAMED
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP),
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










