ADA banyak gerakan ajaran menyeleweng yang diwartakan sebagai sesat oleh sebahagian negeri di Malaysia seperti Al-Arqam, Millah Abraham, Perjalanan Mimpi Yang Terakhir, Kerajaan Langit dan banyak lagi. Pengikutnya pula ramai sehingga ada kumpulan yang mempunyai beribu-ribu ahli.
Suburnya kumpulan ajaran sesat di negara ini menjadi isyarat bahawa masyarakat perlu memperbaiki nilai-nilai yang mendasari kehidupan seharian. Akar permasalahan ini tidak boleh hanya dilihat dari luaran semata-mata, tetapi perlu diselami hingga ke dasar jiwa setiap individu.
Nilai-nilai yang lahir daripada pemahaman yang benar tentang Islam perlu disemai, bermula daripada keluarga, sekolah hingga ke peringkat masyarakat secara menyeluruh. Harus ada usaha kolektif dan berterusan untuk membina sebuah ekosistem yang menyokong perkembangan rohani yang holistik.
Pendidikan agama yang berteraskan al-Quran dan hadis perlu diperkuat dengan mensinergikannya bersama penghayatan terhadap nilai-nilai Islam dalam setiap aspek kehidupan.
Hanya dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, kita mampu mengembalikan kebenaran yang diajarkan Rasulullah dan diwarisi para ulama yang ikhlas.
Oleh sebab itu, masyarakat harus dididik untuk merujuk institusi keagamaan seperti mufti, asatizah yang berwibawa, para ulama yang mempunyai ilmu serta kefahaman mendalam dan benar tentang ajaran Islam.
Pada masa sama, institusi agama perlu bersifat inklusif dan responsif terhadap permasalahan masyarakat agar dapat menjadi rujukan utama, sebagaimana yang dipraktikkan beberapa institusi keagamaan. Pendekatan ini dapat mencegah masyarakat yang memerlukan pencerahan segera daripada merujuk kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.
Institusi keagamaan memainkan peranan penting dalam memastikan ajaran Islam yang disampaikan kepada masyarakat selari dengan al-Quran dan hadis. Mereka menjadi benteng pertahanan akidah umat terutama dalam menghadapi cabaran-cabaran moden yang sering kali didepani persoalan hukum-hakam agama dan membuka ruang kepada penyelewengan.
Melalui bimbingan pihak yang berautoriti dalam bidang agama, kefahaman yang sahih mengenai syariat dapat diperkukuh dan umat Islam dapat dielakkan daripada terpengaruh dengan ajaran yang menyimpang.
Inisiatif program rehabilitasi yang dibuat oleh kerajaan harus disokong bagi membantu pengikut ajaran yang terseleweng untuk membina hidup baharu.
Perlu diingatkan, usaha membendung penyelewengan agama dan ajaran sesat memerlukan pendekatan yang menyeluruh dan berterusan. Sinergi kerja antara agensi agama kerajaan pusat bersama institusi agama negeri meningkatkan kecekapan membanteras penyelewengan agama dan ajaran sesat.
Namun, ia bukan sekadar tanggungjawab kerajaan atau pihak berkuasa agama semata-mata, tetapi memerlukan kerjasama erat antara institusi keagamaan lain, sistem pendidikan, pertubuhan Islam selain setiap lapisan masyarakat untuk mampu membina sebuah komuniti harmoni berpaksikan ajaran Islam yang murni serta dilindungi daripada ancaman penyelewengan akidah dan moral.
Untuk melihat perubahan, setiap orang harus mempunyai komitmen melakukan perubahan.
Hanya dengan kembali kepada kebenaran dan menghidupkan syariat Islam dalam setiap aspek kehidupan, umat Islam akan mencapai kesejahteraan rohani dan jasmani, serta mendapat keberkatan dan keredaan Allah.-UTUSAN
BADLISHAH SHAM BAHARIN
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia










