KITA menyambut Hari Kanak-Kanak Sedunia pada 20 November lalu dengan bertemakan ‘Untuk setiap kanak-kanak, setiap hak’. Antara hak yang paling utama adalah kesihatan, pendidikan berkualiti dan perlindungan daripada pengaruh berbahaya.
Hari ini, salah satu ancaman paling bahaya kepada kesejahteraan kanak-kanak adalah peningkatan penggunaan rokok elektronik dan vape dalam kalangan remaja. Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang dilaksanakan pada 1 Oktober, menyediakan rangka kerja undang-undang yang sangat penting untuk menangani isu ini. Namun, undang-undang sahaja tidak mencukupi sebaliknya perlu memanfaatkan pendidikan dan media sosial sebagai sekutu kuat dalam perjuangan ini.
Platform-platform media sosial ini bukan sekadar saluran untuk berhubung tetapi medan pertempuran yang boleh mengancam kesihatan anak muda. Industri tembakau, dengan sejarahnya mensasarkan golongan rentan, kini menggunakan media sosial untuk menarik pengguna muda ke dalam kitaran ketagihan nikotin.
Kajian juga menunjukkan pendedahan kepada kandungan pro-vape di media sosial berkait langsung dengan peningkatan penggunaannya dalam kalangan belia. Taktik seperti sokongan selebriti memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi dan tingkah laku golongan muda terhadap vape.
Luana Chacon Santos dari Universiti York memberi amaran tentang normalisasi rokok elektronik dalam kalangan golongan muda boleh membawa kepada pengulangan pola berbahaya yang dilihat dalam industri tembakau dahulu.
Dalam menghadapi cabaran ini, media sosial juga menawarkan peluang baik untuk mendekati golongan muda. Kajian menunjukkan keberkesanan kempen anti vape yang disasarkan di media sosial. Satu kempen selama 60 hari di platform seperti Facebook dan Instagram mengubah sikap golongan muda terhadap penggunaan vape dengan peserta melaporkan niat lebih rendah untuk menggunakannya dan meningkatnya ketidakpercayaan terhadap industri tembakau.
Kerjasama dengan pempengaruh popular yang menyokong kehidupan sihat tanpa vape dapat memperkuat mesej ini. Kandungan menarik seperti infografik, meme dan video pendek mampu menyampaikan maklumat kesihatan penting dalam format yang diminati golongan muda.
Dalam masa sama, sekolah perlu memasukkan pelajaran komprehensif tentang bahaya vape dalam program kesihatan sambil menggunakan media sosial untuk menjangkau pelajar di luar bilik darjah. Pembuat dasar juga mesti melaksanakan peraturan ketat terhadap pengiklanan media sosial dan memantau pemasaran pempengaruh untuk melindungi golongan muda secara berkesan.
Demi kesihatan dan keselamatan setiap kanak-kanak, kita mesti bertindak sekarang. Dengan mengutamakan pendidikan, memanfaatkan jangkauan media sosial, serta menguatkuasakan langkah peraturan yang ketat.-UTUSAN
DR. SITI IDAYU HASAN & PROFESOR. MADYA DR. FARIZAH MOHD. HAIRI
Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya










