MASALAH pembelajaran di sekolah adalah cabaran yang sering dihadapi pelajar pada semua peringkat umur. Setiap pelajar mempunyai gaya pembelajaran berbeza dan kadangkala berdepan dengan pelbagai cabaran yang menghalang pencapaian akademik.
Terdapat beberapa strategi yang boleh diaplikasi untuk mengatasi masalah pembelajaran agar dapat mencapai kejayaan dalam pelajaran.
Antaranya, pelajar harus mengenali gaya pembelajaran yang sesuai. Ada pelajar yang lebih mudah memahami melalui visual, manakala yang lain lebih suka belajar melalui pendengaran atau praktikal. Dengan mengetahui gaya pembelajaran masing-masing, pelajar boleh menyesuaikan kaedah pembelajaran yang lebih berkesan. Contohnya, pelajar yang lebih visual boleh menggunakan peta minda, graf atau gambar untuk membantu memahami topik dengan lebih mendalam.
Pengurusan masa yang baik sangat penting dalam memastikan semua tugas pembelajaran dapat disiapkan dengan sempurna. Pelajar yang bijak merancang masa akan lebih teratur dan tidak mudah tertekan. Amalan seperti membuat jadual belajar, menetapkan masa ulang kaji, memberi ruang untuk rehat dan hiburan adalah penting dalam menjaga keseimbangan antara pembelajaran dan kehidupan seharian. Dalam era digital ini, pelajar sering kali terganggu dengan telefon pintar, media sosial atau permainan dalam talian. Oleh itu, penting untuk disiplin dan menetapkan peraturan sendiri ketika belajar.
Selain itu, dapatkan bantuan daripada rakan atau guru. Terdapat pelajar yang lebih suka belajar secara berkumpulan kerana membolehkan mereka berkongsi ilmu, bertukar idea dan memahami sesuatu topik dengan lebih baik. Bagi pelajar yang menghadapi masalah dalam subjek tertentu, mereka boleh merujuk kepada guru atau mendapatkan bimbingan tambahan di luar waktu kelas. Ini membolehkan mereka mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci dan mendalam.
Aktif bertanya dalam kelas, menetapkan matlamat, menjaga kesihatan fizikal dan mental, sentiasa bersikap positif serta tidak berputus asa dapat memberikan peluang untuk belajar dan menjadi lebih baik. Sikap ini penting kerana kejayaan dalam pembelajaran memerlukan usaha yang berterusan dan tidak dicapai dalam masa yang singkat.
Masalah pembelajaran juga boleh diatasi dengan strategi yang betul seperti pengurusan masa, mengenali gaya pembelajaran dan menjaga kesihatan mental serta fizikal. Pelajar perlu bersedia untuk berusaha lebih keras dan sentiasa mencari jalan penyelesaian apabila menghadapi cabaran dalam pembelajaran.-UTUSAN
NOR AZIRAH A.R
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil, Selangor










