JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) akan bertindak tegas terhadap individu atau pihak yang memungut zakat di Selangor tanpa tauliah dari Majlis Agama Islam Selangor (Majlis).
Seksyen 37 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 jelas memperuntukkan “Mana-mana orang yang memungut zakat atau fitrah atau menyebabkan dipungut zakat atau fitrah tanpa dilantik sebagai amil atau selainnya diberi kuasa oleh Majlis adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali”.
Peruntukan ini turut menyatakan adalah menjadi suatu kesalahan bagi mana-mana individu atau pihak yang memberi laluan atau membenarkan atau menyebabkan individu atau pihak bertindak mengutip zakat tanpa tauliah Majlis akan dikenakan hukuman yang sama jika sabit kesalahan.
JAIS turut mengingatkan bahawa perbuatan membayar zakat kepada individu atau pihak tidak ditauliahkan sebagai pemungut zakat oleh Majlis adalah suatu perbuatan yang tidak melepaskan kewajipan zakat diwajibkan ke atas individu atau pihak yang mengeluarkan zakat tersebut.
JAIS telah pun mengeluarkan arahan pematuhan dan langkah kawalan berhubung kutipan zakat, wakaf dan infak di masjid dan surau seluruh Selangor melalui surat pekeliling bertarikh 11 November 2024. JAIS menyedari ada segelintir individu dan pihak menggunakan masjid atau surau yang menamakan kutipan infak mereka sebagai zakat.
Pihak pentadbir masjid dan surau turut boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang kerana melakukan kesalahan dengan menyebabkan perbuatan mengutip zakat tanpa tauliah Majlis dilakukan oleh individu atau pihak terbabit.
Kutipan zakat di Selangor sangat penting untuk sentiasa berada pada jumlah signifikan berdasarkan bilangan pembayar yang wajib menunaikan zakat di negeri itu kepada amil yang dilantik secara sah oleh Majlis.
Jumlah penduduk beragama Islam di Selangor melebihi 3.6 juta orang dan had kifayah fakir miskin meningkat memerlukan jumlah dana agihan yang turut menjadi tinggi. Sehingga September lalu, terdapat 71,000 keluarga asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor dan memerlukan dana sebanyak RM 1.36 bilion untuk menyantuni mereka dengan pelbagai kaedah dan cara yang wajar.
Jika dana zakat di Selangor dikutip dan diagihkan dengan cara melanggari ketetapan yang dibuat, ia bukan sahaja mengundang implikasi undang-undang dan ketetapan hukum, bahkan akan menyebabkan berlakunya keritisan serta kekangan dalam menjamin kemampanan pembangunan rohani, sosioekonomi dan umat Islam di Selangor.
Sehubungan itu, umat Islam yang berkewajipan mengeluarkan zakat atau fitrah hendaklah memastikan hanya membayar zakat kepada amil yang dilantik oleh Majlis. Laporkan kepada JAIS apa sahaja perbuatan disyaki melanggar ketetapan peraturan serta hukum yang dikuatkuasakan mengenai urusan membayar dan pengagihan zakat di Selangor.-UTUSAN
DATUK MOHD SHAHZIHAN AHMAD
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)










