Hati-hati dengan pengeluar produk mesra alam

Hati-hati dengan pengeluar produk mesra alam

PERATURAN dan garis panduan kelestarian perlu diwujudkan bagi memastikan tuntutan hijau oleh sesebuah syarikat mahupun produk adalah sah dan berkesan, bukan sekadar strategi pemasaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANYAK pengeluar kini menggunakan istilah-istilah seperti mesra alam sekitar, ‘green living’, ‘go green’ dan seumpamanya untuk menggambarkan produk mereka sebagai mesra alam. Namun, kajian terkini mendedahkan tidak semua pengeluar benar-benar mengamalkan pendekatan lestari dalam pengeluaran produk.

Pengeluar hanya menggunakan slogan tersebut sebagai taktik pemasaran bagi memperdaya pengguna supaya membeli produk mereka, walaupun ia tidak memberi manfaat sebenar kepada alam sekitar.

Sementara pengguna pula menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar akibat menyokong dengan melakukan pembelian tanpa mengetahui hakikat pengeluaran produk sebenar.

Pihak berkaitan perlu merangka penilaian konstruktif bagi mengelakkan isu manipulatif ‘acah hijau’ ( dakwaan palsu) khususnya di peringkat industri. Agensi terlibat harus menetapkan peraturan dan garis panduan kelestarian untuk memastikan tuntutan hijau oleh sesebuah syarikat mahupun produk adalah sah dan berkesan, bukan sekadar strategi pemasaran.

Pengguna mempunyai peranan besar dalam menentukan haluan pengeluaran produk lestari, terutama melalui corak perbelanjaan dan sokongan mereka terhadap sesuatu produk. Namun, isu ‘acah hijau’ menjadikan pengguna mangsa taktik pemasaran manipulatif yang memberi kesan lebih buruk kepada alam sekitar.

Apabila pengguna membeli produk yang dipercayai mesra alam, sokongan ini secara tidak langsung memberikan kepercayaan palsu kepada pengeluar dan membiarkan mereka terus beroperasi tanpa memberi sumbangan sebenar kepada kelestarian alam. Oleh itu, penting bagi pengguna untuk lebih berhati-hati dan bijak dalam menilai produk yang mereka beli.

Kesedaran terhadap isu ‘acah hijau’ boleh membantu pengguna membuat keputusan yang lebih beretika dan memberi kesan positif kepada alam sekitar. Semakin ramai pengguna yang sedar akan isu ini, semakin besar tekanan kepada pengeluar produk untuk mengamalkan kelestarian yang sebenar, bukan hanya sekadar ungkapan pemasaran semata-mata.-UTUSAN

DR. SITI NURAIN MUHMAD
Pensyarah (Tadbir Urus Korporat, Kewangan Islam), Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN