PENGGUNAAN gajet yang tidak terkawal, terutama dalam kalangan generasi muda membawa banyak implikasi besar sehingga boleh mengancam penguasaan ilmu sebenar dan memberi kesan jangka panjang terhadap kelangsungan hidup bangsa serta kemajuan negara.
Walaupun gajet adalah alat yang berpotensi untuk memperkaya ilmu tetapi ia juga menjadi gangguan jika tidak dikawal dengan bijak. Fenomena ini dapat dilihat dalam kalangan pelajar yang sering menghabiskan masa dengan permainan video, aplikasi media sosial atau platform hiburan lain.
Kebergantungan kepada gajet menyebabkan pelajar mudah hilang fokus dalam pelajaran dan lebih mengutamakan hiburan daripada mencari ilmu yang bermanfaat. Akibatnya, mereka gagal menguasai ilmu yang seharusnya dikuasai melalui pengalaman langsung dan pembelajaran mendalam.
Sebaliknya, ilmu sebenar memerlukan pemikiran kritis, pemerhatian mendalam dan pengalaman secara langsung. Tanpa disiplin dan kawalan, pelajar hanya akan menyerap maklumat secara dangkal dan tidak mampu meneroka pengetahuan yang lebih mendalam. Akhirnya menyebabkan ketidakmampuan untuk bersaing di peringkat antarabangsa kerana ilmu yang dimiliki tidak cukup mantap.
Penguasaan ilmu dan maklumat adalah kunci bagi kelangsungan hidup bangsa dan pembangunan negara. Negara-negara yang menguasai ilmu bukan sahaja berupaya membangunkan teknologi baharu, bahkan berpotensi untuk mendominasi negara lain.
Misalnya, Amerika Syarikat (AS), China dan Jepun tidak hanya memimpin dalam inovasi teknologi tetapi juga mempengaruhi ekonomi, pertahanan, budaya dan cara hidup negara lain. Pengaruh ini adalah hasil daripada penguasaan ilmu dan maklumat yang kuat, yang menjadi alat kekuasaan di pentas dunia.
Sebaliknya, negara yang ketinggalan dalam ilmu dan teknologi akan terus bergantung pada negara-negara maju untuk sumber ekonomi, pertahanan dan budaya. Kebergantungan ini bukan sahaja menyebabkan kelemahan dalam aspek ekonomi tetapi juga boleh melemahkan identiti budaya, bahasa dan nilai-nilai masyarakat yang murni. Lama-kelamaan, ia membawa kepada kemunduran dan ketidakstabilan dalam negara itu sendiri.
Jadi, semua pihak khususnya ibu bapa harus bekerjasama untuk memastikan teknologi digunakan dengan sewajarnya agar ia membantu perkembangan minda dan bukan sebaliknya.
Dengan memastikan ilmu yang dipelajari adalah berkualiti dan mendalam, kita bukan sahaja mampu memperkukuhkan jati diri anak bangsa, malah meletakkan negara kita dalam kedudukan yang lebih stabil dan berdaya saing di pentas antarabangsa. Ia merupakan langkah penting bagi memastikan kelangsungan hidup bangsa dan negara agar terus maju dalam era globalisasi yang serba mencabar.-UTUSAN
AMIRUL SALAM HASAN
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)










