“USAH sesekali mengharapkan dunia berlaku adil kepadamu kerana aku telah hidup dan menyaksikan bagaimana ia kekal diam membisu tatkala melihat penderitaan kita,” Yahya Sinwar .
Kesyahidan pemimpin Hamas, Yahya Sinwar pada 16 Oktober lalu mencetuskan reaksi yang sungguh berbeza di seluruh dunia. Sewaktu Israel dan sekutunya meraikan gugurnya pemimpin yang dituduh sebagai dalang Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober 2023, rakyat Palestin dan umat Islam menangisi kehilangan tokoh pejuang yang dikagumi keberaniannya. Semangat mereka, khususnya rakyat Gaza tidak sama sekali luntur meskipun terus dihujani kezaliman yang tidak terperi.
Sepanjang lebih 12 bulan lalu, serangan udara dan kempen ketenteraan Israel di Gaza meningkat dengan mendadak. Menurut data terkini daripada Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kerajaan Palestin, setakat 27 Oktober 2024, serangan Israel merosakkan atau memusnahkan antara lain lebih separuh daripada kediaman di Gaza, 80 peratus kemudahan komersial, bangunan sekolah (87 peratus), kemudahan penjagaan kesihatan, iaitu 17 daripada 36 hospital yang cuma sebahagiannya berfungsi, rangkaian jalan raya (68 peratus) dan tanah tanaman (68 peratus). Selain itu, serangan juga turut merosakkan lebih kurang 611 buah masjid dan beberapa buah gereja.
Dari sudut kesihatan, tiga perempat atau 75 peratus penduduk Gaza daripada keseluruhan 2.3 juta orang dijangkiti penyakit berjangkit disebabkan kekurangan sanitasi, kumbahan terbuka dan akses kepada kebersihan yang tidak mencukupi.
Keganasan di Gaza memperlihatkan dengan jelas kelemahan sistem global dalam melindungi hak asasi manusia. Kegagalan komuniti antarabangsa untuk bertindak tegas bukan sahaja menggalakkan keganasan berterusan tetapi juga memberikan contoh buruk lagi memalukan selain merosakkan prinsip undang-undang antarabangsa.
Rakyat Gaza, yang melalui genosid moden, hanya tinggal harapan yang semakin pudar dan keputusasaan yang semakin mendalam terhadap masyarakat dunia. Usaha mengakhiri penderitaan di Gaza memerlukan lebih daripada sekadar isyarat simbolik atau kecaman separuh hati. Ia menuntut gencatan senjata segera, penamatan sekatan dan pertanggungjawaban yang bermakna bagi mereka yang terlibat dalam jenayah perang.
Komuniti global juga perlu serius menangani punca konflik terutama pendudukan dan penafian hak penentuan nasib sendiri bagi rakyat Palestin. Dalam detik krisis ini, berdiam diri juga merupakan satu bentuk keterlibatan. Dunia tidak boleh berpaling daripada penderitaan di Gaza, kerana sejarah akan menghakimi mereka yang hanya melihat tanpa bertindak. Hanya melalui tindakan kolektif, kita dapat memulihkan keadilan dan harapan kepada rakyat Gaza, khususnya dan Palestin umumnya yang telah sekian lama dinafikan kedua-duanya.-UTUSAN
WAN ROSLILI ABD. MAJID
Felow, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)










