HIMPUNAN Gerakan Islam Malaysia (Hikam) mengambil maklum bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan telah dibentangkan di Parlimen untuk bacaan pertama pada Julai, lalu.
Isu utama yang mencetuskan perbahasan hangat adalah perkara berkaitan perbezaan aliran akidah yang kompleks dan sensitif. Ia wajar ditangani dengan penuh hikmah demi menjaga kesatuan ummah.
Hikam berpandangan perbincangan mengenai isu-isu berkaitan aliran akidah tidak sepatutnya dilakukan di ruang awam, kerana ia berpotensi menimbulkan kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Perdebatan awam yang tidak terkawal dalam hal-hal kepercayaan Islam boleh mengakibatkan sikap fanatik, menyempitkan pemikiran dan menghalang kemajuan ummah. Pertelingkahan terbuka juga menimbulkan kesangsian dan persepsi negatif masyarakat belum Islam terhadap agama rahmah kita.
Oleh itu, kami menyeru agar isu sebegini dibincangkan secara ilmiah dan tertib dalam platform tertutup melibatkan para ulama, pakar akidah daripada pelbagai aliran dan juga pakar lain yang berkaitan.
Dengan pendekatan ini, diharapkan jalan penyelesaian yang harmoni dan berkesan dapat dicapai demi kemaslahatan umat Islam di Malaysia.
Ketika sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran, Hikam mengajak umat Islam daripada setiap lapisan masyarakat untuk menahan diri daripada perdebatan yang tidak produktif dan boleh memecah-belahkan masyarakat.
Sebaliknya, marilah kita bersatu tenaga dan memperkukuhkan saf dalam usaha ke arah membina Malaysia yang lebih makmur, bersatu padu dan sejahtera, serta menyebarkan risalah Islam kepada seluruh masyarakat.
Semoga Allah SWT merahmati dan memandu kita ke arah perpaduan yang utuh, membawa kebaikan dan keharmonian kepada umat Islam di Malaysia.-UTUSAN
HIMPUNAN GERAKAN ISLAM MALAYSIA (Hikam)
Kuala Lumpur










