BELANJAWAN 2025 menunjukkan komitmen kukuh kerajaan dalam membina masyarakat yang sejahtera dan lestari dengan meletakkan golongan belia sebagai tonggak pembangunan masa depan.
Belanjawan berkenaaan dirangka dengan menawarkan pelbagai inisiatif berfokus untuk mengukuhkan kemahiran, menyokong pendidikan dan mempertingkatkan ekonomi digital yang berupaya mengangkat kedudukan belia Malaysia dalam pelbagai bidang.
Pembangunan usahawan muda melalui program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) mampu memupuk sifat keusahawanan dalam kalangan belia terutamanya apabila kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi memperkasakan program berkenaan.
Program itu tidak hanya menawarkan modal kepada peserta, tetapi juga bimbingan untuk memastikan mereka mampu mengendalikan perniagaan secara berkesan.
Malah kerajaan turut berusaha memperkasakaan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan peruntukan RM7.5 bilion kepada pendidikan TVET, menerusi bidang keutamaan seperti teknologi semikonduktor, automasi dan aeroangkasa menjadi fokus utama.
Dengan peluang latihan kemahiran dan teknikal yang ditawarkan, belia kini boleh memasuki sektor pekerjaan yang berdaya saing.
Sebagai sokongan, program kerjasama dengan industri yang menawarkan peluang latihan praktikal dan khidmat nasihat berkala di lapangan juga akan meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja belia di Malaysia.
Bukan itu sahaja, inisiatif kemudahan pengangkutan percuma bagi mahasiswa institusi pengajian tinggi seperti di universiti, kolej komuniti dan matrikulasi turut diberikan tambang percuma melalui perkhidmatan BAS.MY.
Kerajaan juga disarankan untuk memastikan Program Pembangunan Bakat Khazanah (K-Youth) berkesan selepas memperuntukkan RM200 juta bagi menyediakan latihan kepada 11,000 bakat tempatan, khususnya dalam sektor berteknologi tinggi seperti industri semikonduktor.
Latihan bersama pakar dan penglibatan dalam projek industri sebenar dapat mengasah kemahiran teknikal belia dan membuka peluang jaringan profesional.
Bagi memastikan peruntukkan RM20 juta kepada Ekosistem e-Sukan dan Kreativiti Digital membuahkan hasil, penglibatan belia dalam komuniti e-sukan boleh diperkasa melalui penyediaan ruang latihan komuniti atau pusat e-sukan di peringkat daerah.
Pertandingan e-sukan tempatan yang dijalankan di kampus universiti juga dapat menonjolkan bakat muda dan memberikan laluan kepada mereka untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Dengan dana RM65 juta disalurkan kepada Cradle Fund dengan sokongan kepada Keusahawanan Digital dan pemula, belia kini mempunyai peluang untuk mengembangkan idea dalam sektor teknologi dan inovasi.
Inisiatif seperti hackathon atau pertandingan inovasi peringkat kebangsaan yang dianjurkan universiti dan agensi berkaitan boleh menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak syarikat permulaan tempatan dalam kalangan belia.-UTUSAN
DR. NOR AZRUL MOHD. ZIN
Pensyarah Kanan
Pusat Kajian Pembangunan,
Sosial dan Persekitaran
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia










