WAKAF berfungsi sebagai satu bentuk sumbangan berterusan untuk manfaat masyarakat. Dalam konteks pendidikan tinggi, wakaf bukan sahaja menyediakan sumber kewangan tetapi juga membentuk ekosistem yang menyokong kelestarian sosial.
Wakaf dalam pendidikan tinggi merangkumi pelbagai bentuk sumbangan, termasuk pembiayaan institusi pendidikan, penyediaan kemudahan belajar dan biasiswa untuk pelajar kurang berkemampuan. Dengan membangunkan inisiatif wakaf yang strategik, institusi pendidikan tinggi dapat meningkatkan kualiti pendidikan dan aksesibiliti.
Wakaf pendidikan tinggi selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya pendidikan berkualiti. Menurut laporan Agensi Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), pendidikan berkualiti adalah asas untuk mencapai semua SDG yang lain. Dengan memperluas akses kepada pendidikan tinggi melalui wakaf, masyarakat dapat membentuk generasi yang lebih berpendidikan dan berkemahiran.
Wakaf menyediakan peluang kepada pelajar dari latar belakang yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan pendidikan tinggi. Biasiswa wakaf membolehkan mereka menamatkan pengajian tanpa beban kewangan yang berat.
Melalui program ini juga pelajar dilengkapi kemahiran yang relevan dengan keperluan industri. Ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran mereka tetapi juga menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Komuniti yang menyokong inisiatif ini merasa memiliki tanggungjawab untuk memastikan kejayaan pendidikan anak-anak mereka sebagai keutamaan.
Untuk memastikan kelestarian wakaf dalam pendidikan tinggi, beberapa model inovatif boleh dipertimbangkan. Wakaf korporat, yang melibatkan syarikat-syarikat dalam pembangunan pendidikan tinggi melalui sumbangan wakaf boleh memberi impak jangka panjang.
Syarikat boleh menaja program, kemudahan atau biasiswa. Selain itu, penggunaan platform digital untuk memudahkan sumbangan wakaf dapat membantu individu dan organisasi menyumbang kepada inisiatif pendidikan dengan mudah, meningkatkan kesedaran dan sumber kewangan.
Kerjasama antara institusi pendidikan juga penting dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan inisiatif tersebut.
Walaupun mempunyai potensi yang besar, masih terdapat kekurangan pemahaman tentang wakaf dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, program pendidikan dan kempen kesedaran perlu dijalankan untuk menjelaskan konsep dan manfaat wakaf.-UTUSAN
DR. KHAIRUL JANNAH SAMSUDIN
Pensyarah Kanan
Jabatan Perdagangan
Politeknik Sultan Idris Shah










