Menyentuh pendirian Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di Dewan Rakyat, baru-baru ini yang turut dibentangkan dan diperincikan kepada pihak Yang di-Pertua Negeri (YDPN) Sabah dan Sarawak selaras dengan Perkara 161(E) Perlembagaan Persekutuan.
Berdasarkan kenyataan itu, adakah pihak Majlis Raja-Raja mahupun YDPN diberikan penjelasan mengenai kesan-kesan pindaan kepada Orang Asli pemegang pas pemastautin tetap (PR) bagi Sabah serta Sarawak, penduduk yang lahir sebelum hari Malaysia dan lahir di Sabah/Sarawak? Adakah penjelasan ini disokong dengan data-data yang tepat dan komprehensif?
Menyentuh usul perbahasan beberapa ahli Parlimen, adakah terdapat ‘safeguards’ bagi mengelakkan daripada berlaku atau lahirnya anak-anak dan generasi tanpa kerakyatan apabila anak-anak pemegang PR tidak lagi diberikan hak kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang? Tidakkah beliau merasakan wajar ditubuhkan terlebih dahulu jawatankuasa khas seperti dicadangkan untuk melihat secara lebih terperinci mengenai implikasi-implikasi pindaan ke atas golongan berisiko agar pindaan-pindaan yang dicadangkan bersifat telus, adil dan seimbang?
Bagi pindaan Perkara 26(2), adakah terdapat kajian yang turut melihat impak sosial ke atas isteri dan anak-anak akibat pindaan melibatkan pelucutan hak kewarganegaraan isteri kepada suami warganegara dalam tempoh dua tahun setelah isteri mendapat kewargangeraan akibat berlakunya perceraian? Adakah terdapat ‘safeguards’ bagi memastikan pelucutan kewarganegaraan itu tidak akan menyebabkan wanita menjadi tanpa kerakyatan memandangkan golongan itu perlu terlebih dahulu melepaskan kewarganegaraannya yang asal sebelum menjadi warganegara Malaysia.
Kesan pindaan ini mungkin menyebabkan isteri yang diceraikan kehilangan identiti sah, hak penjagaan kepada anak-anaknya dan hak untuk menyara hidupnya dan anak-anak hasil perkahwinan dengan suami warganegara.
Pindaan ini seperti membuka laluan kepada potensi penderaan oleh pihak suami yang tidak bertanggungjawab.
Adakah prosedur operasi standard (SOP) bagi permohonan kewarganegaraan termasuk di bawah Perkara 15(A) telah disediakan secara terperinci dan adakah SOP ini akan dibentangkan secara telus sebelum dikuatkuasakan? Apakah jaminan bagi memastikan ‘safeguards’ seperti yang diusulkan dengan tegas oleh ahli Parlimen Masjid Tanah akan diambil kira selain SOP yang diperkenalkan selaras dengan keadilan prosedural dalam hal-hal permohonan dan kelulusan kewarganegaraan.
Pertubuhan Masyarakat Sivil
Malaysia (CSO)










