SAYA merupakan antara pengguna perkhidmatan awam Transit Aliran Ringan (LRT) untuk ke tempat kerja.
Bagi memudahkan perjalanan, saya meletakkan kenderaan di lot tempat letak kenderaan awam Taman Melati, Kuala Lumpur.
Saya kesal dengan tindakan orang awam yang mengambil kesempatan dengan meletakkan kereta usang, van dan lori peniaga. Malah ada peniaga kecil meletakkan kon bagi menghalang pengguna daripada meletakkan kenderaan di kawasan berkenaan.
Terbaharu, saya dapati mereka meletakkan kayu bagi mengahalang kenderaan meletakkan kenderaan.
Bertambah kesal apabila pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ‘suka’ mengenakan kompaun kepada pengguna seperti saya yang meletakkan kenderaan di tepi jalan, walhal kami tidak mengganggu lalu lintas.
Malah, kami tiada pilihan disebabkan lot letak kenderaan tersedia dipenuhi kereta buruk, van niaga dan kon oleh peniaga tepi jalan. Apa pilihan kami ada? Kenapa tidak musnahkan kereta usang dan menghalang penjaja daripada meletakkan kenderaan dan kon di lot letak parking awam?
Adakah tindakan mengenakan kompaun dapat membantu menyelesaikan masalah pengguna lebih-lebih lagi di tempat awam yang lot parkirnya sangat terhad?-UTUSAN
Pengguna LRT
Gombak, Selangor










