SELAIN kewujudan kaedah moden yang saintifik, amalan terbaik dan dana mencukupi selain pengurusan pihak berkuasa dalam menangani cabaran bencana banjir, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berupaya memainkan peranan besar dalam menyelaras serta melaksanakan langkah-langkah untuk mencegah dan mengurangkan kesan banjir.
Walau bagaimanapun, terdapat isu dan kelemahan khusus dalam undang-undang berkaitan pengurusan banjir seperti berkaitan Perlembagaan Persekutuan apabila urusan negeri-negeri (Senarai Negeri) secara eksklusif di bawah Kuasa Negeri dan Urusan Negeri-Persekutuan (Senarai Bersama) dan Pihak Berkuasa Persekutuan tidak berkuasa untuk campur tangan atau mempunyai kata putus.
Ini dapat dilihat apabila Pihak Berkuasa Persekutuan mengeluarkan garis panduan, nasihat dan arahan tentang polisi serta peraturan dalam pencegahan banjir. Pihak Berkuasa Negeri (PBN), Pihak Perancang Tempatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mungkin tidak mematuhinya dalam meluluskan rancangan pembangunan tanah atas sebab perkara-perkara ini melibatkan kuasa negeri atau kuasa bersama yang memerlukan kebenaran PBN sebelum sesuai polisi dan garis panduan itu berkuatkuasa dalam sesebuah negeri.
Data besar dan analitik yang komprehensif penting dalam membantu merumuskan strategi bagi mencegah banjir. Namun begitu, agensi teknikal, jabatan berkaitan, Pihak Berkuasa Persekutuan dan PBN pada masa ini tidak dikehendaki oleh undang-undang untuk menyediakan data sedemikian bagi setiap daerah mengenai kawasan rawan banjir dan kawasan geografi yang tidak sesuai untuk pembangunan tanah.
Saya juga mendapati Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) tidak terikat dengan rancangan pembangunan dalam proses kelulusan kebenaran merancang dan perintah pembangunan.
Selain daripada isu yang dinyatakan ini, banjir di kawasan pembangunan tanah juga mungkin berlaku disebabkan kegagalan pemaju mematuhi syarat-syarat agensi teknikal akibat isu kos. Selain itu, pemaju mungkin gagal menyediakan kajian dan laporan kebolehlaksanaan yang mencukupi untuk mencegah, menangani dan mengurus banjir dan bencananya.
Kesimpulan, penting untuk pihak berwajib memberi perhatian dan mengambil tindakan terhadap isu-isu yang dinyatakan bagi melindungi orang ramai daripada bencana banjir. Ini boleh dicapai dengan melaksanakan reformasi sistem pentadbiran dan pengurusan dalam pentadbiran pembangunan tanah di kawasan rawan banjir, menggubal undang-undang dan dasar baharu serta menerima pakai pendekatan yang berkesan juga bermakna untuk menangani bencana demi memastikan pembangunan mampan dan kawasan bebas banjir.-UTUSAN
PROFESOR DR. NUARRUAL HILAL MD. DAHLAN
Pusat Pengajian Undang-Undang,
Universiti Utara Malaysia (UUM) & Exco Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).










