KEMALANGAN jalan raya yang melibatkan motosikal menjadi isu yang semakin meruncing di Malaysia, terutama dalam kalangan pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT). Statistik menunjukkan golongan ini terdedah kepada risiko kecelakaan yang tinggi kerana ketergantungan kepada motosikal sebagai mod pengangkutan utama.
Dalam konteks ini, takaful sebagai satu bentuk perlindungan kewangan berasaskan syariah memainkan peranan yang kritikal.
Takaful, dalam bentuk pelan kemalangan peribadi menawarkan perlindungan kewangan yang diperlukan untuk menghadapi situasi tidak terduga. Kemalangan melibatkan motosikal seringkali mengakibatkan kecederaan serius dan tanpa perlindungan mencukupi, pelajar mungkin terpaksa menanggung kos rawatan yang tinggi.
Dengan menyediakan pampasan untuk rawatan perubatan dan kos pemulihan, takaful dapat meringankan beban kewangan yang mungkin timbul akibat kemalangan. Selain itu, pampasan takaful juga membolehkan keluarga merancang kewangan mereka dengan lebih baik, terutamanya dalam situasi yang tidak dijangka.
Pelan takaful pendidikan juga semakin relevan, kerana ia memastikan pendidikan anak-anak tidak terjejas akibat kemalangan yang menyebabkan kecacatan atau kematian. Ini menunjukkan takaful bukan sahaja memberikan perlindungan kewangan, tetapi juga melindungi masa depan generasi seterusnya.
Oleh itu, pihak berkuasa, institusi pendidikan dan syarikat takaful harus bekerjasama dalam menyebarkan maklumat mengenai manfaat perlindungan kewangan ini. Program-program kesedaran yang diadakan di universiti dan sekolah-sekolah boleh membantu pelajar memahami kepentingan takaful dalam konteks kehidupan mereka. Dengan pendedahan awal, pelajar dapat membuat keputusan kewangan yang lebih bijak apabila memasuki alam dewasa.
Syarikat pengendali takaful juga perlu memperkenalkan pelan-pelan yang khusus untuk golongan belia dan pelajar. Pelan-pelan ini perlu dirancang dengan mengambil kira keperluan serta kemampuan kewangan mereka dengan menawarkan perlindungan yang mencukupi untuk kemalangan jalan raya, penyakit kritikal, hilang upaya kekal dan juga kematian.
Melalui pendekatan yang komprehensif, kita dapat memastikan pelajar dan belia yang menggunakan motosikal tidak hanya dilindungi secara kewangan, tetapi juga mendapat sokongan yang diperlukan untuk menghadapi cabaran hidup.
Oleh itu, pendidikan tentang takaful harus menjadi keutamaan, bukan sahaja dalam kalangan pelajar, tetapi juga ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya.-UTUSAN
AZIAH ABDUL RAHMAN
Pensyarah Kanan Jabatan Perdagangan
Politeknik Ungku Omar, Ipoh.










