KESATUAN Pekerja-Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Berhad (UPUS) Semenanjung Malaysia melahirkan rasa syukur dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil semasa menghadiri Majlis Sambutan Hari Pos Sedunia 2024 di Pejabat Pos Besar, Kuala Lumpur.
Kesatuan ini yang mewakili Gred Pakaian Seragam di Semenanjung Malaysia serta mewakili Kesatuan Gred Pakaian Seragam KEPPSES ( Sabah) dan UPUS Sarawak menyambut baik pengumuman yang telah dibuat oleh menteri berkenaan untuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) melantik badan penasihat bagi meneliti kewajaran bagi meminda Akta Perkhidmatan Pos 2012.
Kami amat bersetuju dengan saranan tersebut kerana sudah sampai masanya akta itu dibuat kajian semula selepas 12 tahun. Kami juga merasa lega dengan jaminan yang diberikan oleh menteri bahawa walaupun dalam ledakan teknologi kecerdasaan buatan (AI), Fahmi memberi jaminan pekerjaan sebagai seorang posmen di Pos Malaysia terus terjamin dan kekal relevan di negara ini. Dengan pengumuman tersebut pastinya memberi semangat kepada 7,204 anggota posmen dan kurier untuk terus menyumbang bakti kepada Pos Malaysia Berhad dan negara sebagai wadah penyampai berita suka mahupun duka kepada seluruh rakyat jelata.
Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih, kerana buat pertama kalinya Timbalan Menteri serta seluruh Pegawai Kementerian Komunikasi hadir semasa Majlis Sambutan Hari Pos Sedunia yang sentiasa di sambut setiap 9 Oktober setiap tahun.-UTUSAN
ISMAIL ALI
Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Pakaian
Seragam Pos Malaysia Berhad (UPUS),
Semenanjung Malaysia










