SEBAGAI mahasiswa baharu, anda kini memasuki fasa yang bukan sahaja akan membentuk pengetahuan dan kemahiran akademik tetapi juga memberi impak mendalam terhadap perkembangan peribadi serta sosial.
Salah satu langkah yang harus dilakukan adalah mengenali kampus anda. Luangkan masa untuk menjelajahi lokasi penting seperti dewan kuliah, perpustakaan, pusat sumber dan kemudahan lain yang disediakan. Pengetahuan ini akan memudahkan anda dalam menghadiri kelas dan mencari bahan rujukan.
Membina rutin harian adalah kunci untuk mengurus masa dengan baik. Dalam kehidupan universiti, anda akan mempunyai kebebasan untuk mengatur jadual sendiri. Tetapkan jadual yang seimbang untuk belajar, bersosial dan berehat.
Rutin ini bukan sahaja membantu mengekalkan fokus dalam pelajaran tetapi juga mengelakkan tekanan. Anda boleh menggunakan aplikasi mengurus masa untuk merancang aktiviti harian dan menetapkan matlamat jangka pendek dalam pelajaran.
Kehadiran di kelas adalah aspek penting dalam kejayaan akademik. Setiap kuliah adalah peluang untuk belajar daripada pensyarah yang berpengalaman dan berinteraksi dengan rakan sekelas.
Universiti adalah tempat yang hebat untuk membina jaringan sosial. Sertai kelab atau persatuan yang berkaitan dengan minat. Ini bukan sahaja membantu bertemu dengan rakan-rakan baharu tetapi juga memberikan peluang untuk mengembangkan kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan.
Kesihatan mental dan fizikal adalah aspek penting dalam kehidupan pelajar. Luangkan masa untuk bersenam, makan dengan sihat dan berehat. Aktiviti fizikal dapat membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan mood.
Salah satu manfaat terbesar kehidupan universiti adalah peluang untuk membina jaringan sosial yang luas. Berkenalan dengan pelajar dari pelbagai latar belakang dan budaya akan memperkayakan pengalaman.
Ini bukan sahaja akan membantu dalam kehidupan sosial, tetapi juga akan memberi manfaat dalam dunia kerjaya kelak. Jangan ragu untuk bergaul dengan rakan sekelas, menyertai aktiviti dan menghadiri seminar atau bengkel.
Menetapkan matlamat adalah cara yang berkesan untuk memberi arah dalam kehidupan di universiti. Tetapkan matlamat jangka pendek seperti mencapai gred tertentu dalam semester ini dan matlamat jangka panjang melibatkan perancangan pekerjaan dalam bidang yang diminati selepas tamat pengajian.
Ingatlah, setiap pengalaman baik mahupun buruk adalah batu loncatan ke arah kejayaan. Ketika berdepan dengan cabaran, pandanglah ia sebagai peluang untuk memperkukuhkan diri.
Jangan ragu untuk mencari sokongan daripada rakan-rakan, pensyarah dan semua sumber yang ada di universiti. Terdapat satu komuniti yang ingin melihat anda berjaya, jadi manfaatkan sepenuhnya jaringan ini.-UTUSAN
MOHAMMAD NOORIZZUDDIN NOOH
Pesnyarah Kanan
Fakulti Ekonomi dan Muamalat
Universiti Sains Islam Malaysia.










