DR. Furqan Ishak Aksa dari Universiti Samudera, Aceh menulis sebuah kertas jurnal yang menarik bertajuk Islamic Perspectives in Disaster: An Alternative to Changing Fatalistic Attitudes. Penulisan ini memberi satu perspektif menarik tentang bencana dari sudut pandang Islam.
Secara umumnya, Furqan cuba menunjukkan salah faham terhadap ajaran Islam adalah punca kepada sikap fatalistik umat Islam terhadap bencana.
Sikap fatalistik berkaitan rapat dengan kepercayaan bahawa setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan adalah di luar kawalan manusia. Pemahaman ini seolah-olah mengajar masyarakat untuk menerima bencana dan kesannya sebagai takdir semata-mata.
Kepercayaan ini tidaklah salah sepenuhnya tetapi seolah-olah menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang pasif. Sedangkan sebaliknya, dalam berhadapan dengan bencana terdapat banyak garis panduan dan nilai Islam yang bersifat proaktif. Dengan kata lain, ajaran Islam menggalakkan umat Islam berusaha sedaya upaya untuk mengubah nasib dan bukannya menerima takdir dirinya semata-mata.
Furqan memberikan tumpuan kepada tiga konsep penting untuk menangani sikap fatalistik iaitu al-Ilmu (ilmu), ikhtiar (usaha) dan tawakal.
Pada masa ini, kerajaan Malaysia menyediakan sistem dan kemudahan tertentu untuk membantu usaha pengurangan risiko bencana dan mengurangkan impak bencana.
Malaysia turut mempunyai sistem amaran awal bencana. Namun begitu, semua sistem dan kemudahan yang menyokong usaha pengurangan risiko bencana tidak akan berjaya tanpa sokongan aspek bukan material seperti psikologi, kerjasama pihak berkepentingan dan pendidikan bencana. Justeru, usaha pengurangan risiko bencana bersifat holistik dan sebahagian daripadanya melibatkan pemahaman dan amalan nilai serta bimbingan agama.
Ringkasnya, kepercayaan dan keyakinan agama adalah sumber kekuatan untuk mangsa pulih atau bangkit selepas malapetaka bencana.-UTUSAN
AZRINA SOBIAN
Felow, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)










