Pastikan majikan laksana gaji minimum RM1,700

Pastikan majikan laksana gaji minimum RM1,700

KENAIKAN sebanyak RM200 juga patut disambut dengan baik oleh majikan dalam meningkatkan martabat pekerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAJLIS Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyambut baik pengumuman kenaikan kadar gaji minimum sebanyak RM200 berbanding kadar semasa RM1,500 sebulan sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2025.

Jumlah kenaikan itu mencerminkan usaha kerajaan dalam sentiasa menitikberatkan aspek pendapatan rakyat, yang menjadi tunjang ke arah kehidupan lebih baik lagi berkualiti.

UNI-MLC berpandangan kenaikan sebanyak RM200 itu juga patut disambut dengan baik oleh majikan dalam meningkatkan martabat pekerja.

Ini kerana kita perlu mengambil pendekatan harmoni dan sejahtera bagi terus membaiki taraf hidup pekerja yang merupakan anggota penting dalam ekosistem negara. Kita faham hakikat majikan menjalankan perniagaan demi keuntungan, tetapi pada masa yang sama harus berkongsi sebahagian keuntungan bersama pekerja masing-masing.

Prinsip dan semangat ini harus dicerminkan dengan merealisasikan gaji minimum terbaharu yang diumumkan menerusi Belanjawan 2025. UNI-MLC menggalakkan jika majikan bersedia untuk menawarkan gaji lebih baik berbanding gaji minimum RM1,700 yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Februari 2025.

UNI-MLC yakin bahawa sebagaimana disebutkan oleh Anwar, penstrukturan ekonomi hanya akan dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa. Oleh itu, pendekatan penguatkuasaan juga akan dipertingkatkan bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan dasar terbaharu gaji minimum.

UNI-MLC juga menyambut baik pengumuman Kementerian Sumber Manusia juga akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja. Ia memperlihatkan pendekatan kepimpinan Kementerian Sumber Manusia di bawah Steven Sim.
Secara keseluruhannya UNI-MLC menyambut insentif-insentif yang diumumkan kerajaan bagi pekerja sektor awam dan sektor swasta.

Semoga akan membawa manfaat menyeluruh menjelang Malaysia mencapai taraf negara berpendapatan tinggi.-UTUSAN

DATUK MOHAMED SHAFIE BP MAMMAL
Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN