JALAN JKR C98 dari Taman Sri Semantan di Temerloh, Pahang menghala ke arah Jerantut sepatutnya di naik taraf kepada empat lorong dua hala sehingga ke simpang masuk ke Plaza Tol Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT 1) atau terus ke Simpang Pekan Kerdau.
Jalan ini merupakan jalan utama kenderaan untuk memasuki Tol LPT1 dari arah Temerloh, Bandar Mentakab dan Bera serta yang berhampiran.
Kesibukan dan bilangan kenderaan yang menggunakan jalan ini sentiasa tinggi di tambah pula terdapat 10 buah taman perumahan serta beberapa buah kampung tradisional.
Walaupun jarang berlaku kemalangan serius di kawasan ini, namun bilangan kenderaan agak tinggi terutama pada waktu pagi dan petang.
Kemalangan yang berlaku pada awal Ogos lalu mungkin disebabkan keadaan jalan raya yang sempit. Begitu juga lorong untuk berhenti ke arah simpang kampung atau taman perumahan juga sempit. Hal yang sama di laluan memotong sebelah kiri.
Berdasarkan kemalangan yang berlaku itu, rasanya situasi begini tidak mustahil boleh berulang di sepanjang jalan ini. Oleh itu, sudah tiba masa jalan ini dinaik taraf dengan membina pembahagi jalan yang agak lebar serta lampu jalan.
Jalan raya yang menghubungkan bandar Jerantut ke Temerloh dan pusat bandar Jengka (Bandar Tun Razak) ke Temerloh ini akan menjadi lebih penting apabila Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal siap dan beroperasi pada 2027 nanti.-UTUSAN
CICIT AKI BAJI
Mentakab, Pahang










