Kerajaan, komuniti ganding bahu atasi masalah sosial

Kerajaan, komuniti ganding bahu atasi masalah sosial

KERAJAAN dan masyarakat perlu bekerjasama dalam menyelesaikan pelbagai masalah sosial. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERANAN masyarakat dalam menyelesaikan pelbagai masalah sosial seperti ajaran sesat, penderaan, penagihan dadah, kemiskinan, kesihatan dan pendidikan sangat penting.

Salah satu peranan penting yang dimainkan oleh masyarakat akar umbi adalah sebagai pemantau dan penyampai maklumat. Ketua kampung dan penghulu, misalnya, mempunyai hubungan langsung dengan penduduk setempat. Mereka sering menjadi rujukan utama apabila terdapat masalah seperti penderaan kanak-kanak atau penagihan dadah. Dengan maklumat yang tepat dan pantas, mereka boleh melaporkan kepada pihak berkuasa seperti polis atau agensi sosial untuk tindakan segera.

Selain itu, pemimpin rumah ibadah seperti masjid atau gereja juga mempunyai tanggungjawab besar dalam mendidik masyarakat mengenai ajaran agama yang benar. Pemimpin agama perlu memainkan peranan proaktif dengan menyediakan ceramah, forum dan kelas memfokuskan kepada pencerahan agama yang sahih selain berlandaskan ajaran yang betul. Kesedaran agama yang kuat boleh menjadi benteng pertahanan terhadap ajaran sesat.

Sementara itu, pemimpin politik di peringkat tempatan dan nasional juga perlu mengambil tanggungjawab dalam menangani isu-isu seperti kemiskinan dan pendidikan. Mereka boleh merangka dasar-dasar yang membantu golongan miskin mendapatkan bantuan kewangan, perumahan dan peluang pendidikan.

Pemimpin politik juga perlu memastikan agensi kerajaan berfungsi dengan baik untuk menyampaikan bantuan dengan efisien kepada golongan yang memerlukan. Kerjasama antara pemimpin politik, agensi kerajaan dan masyarakat penting untuk memastikan tiada pihak yang terpinggir.

Namun begitu, salah satu sebab mengapa masyarakat gagal bekerjasama adalah kurangnya kesedaran tentang tanggungjawab bersama dalam menangani masalah sosial. Banyak individu beranggapan masalah seperti kemiskinan atau penagihan dadah adalah tanggungjawab pihak kerajaan semata-mata. Sikap lepas tangan ini memburukkan lagi keadaan kerana masyarakat sendiri enggan memainkan peranan mereka. Selain itu, kurangnya kepercayaan terhadap agensi kerajaan juga menyebabkan masyarakat tidak yakin dalam melaporkan masalah yang berlaku.

Penganjuran program kesedaran seperti kempen antidadah, kempen kesihatan dan forum pendidikan perlu diperhebatkan di peringkat akar umbi. Kerajaan juga perlu memberi lebih banyak kuasa kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan (JKK) serta ketua kampung untuk mengambil tindakan proaktif dalam menyelesaikan masalah setempat. Kerjasama erat antara agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat tempatan boleh menguatkan lagi usaha ini.

Tanggungjawab kerajaan juga adalah memastikan wujudnya sistem sokongan yang berkesan.

Agensi-agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendidikan perlu sentiasa turun padang untuk mengenal pasti masalah di peringkat komuniti. Seterusnya, mereka perlu menyediakan bantuan seperti kaunseling, latihan kemahiran, kewangan atau program pemulihan dadah. Selain itu, kerajaan perlu memperbaiki saluran komunikasi antara masyarakat dan agensi kerajaan supaya setiap masalah dapat diselesaikan dengan lebih cekap.-UTUSAN

CIKGU MINHAT DAUD
Parit Sulong, Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN