PERKATAAN Cosplay (peragaan pakaian animasi) bermula sekitar 1970-an apabila pemilik amatur majalah menganjurkan penjualan Manga (majalah animasi Jepun) di pusat pameran dengan kehadiran karakter-karakter yang diilhamkan daripada watak dalam majalah berkenaan.
Bermula 1990-an, peragaan pakaian animasi mula menular ke beberapa negara Asia seperti Hong Kong, Taiwan, China, Indonesia dan Malaysia.
Kini, pemakaian fesyen dengan membawa karakter popular seperti Gekiga (Ninja Bugeicho), Shonen (Dragon Ball) dan Shojo (Sailor Moon) menarik perhatian remaja perempuan, khususnya dalam kalangan remaja Islam.
Hukum Islam sangat dinamik dan sentiasa menerima perubahan akibat perkembangan zaman, masa dan keadaan.
Islam memberi kelonggaran dalam memilih fesyen yang diminati sebagai meraikan fitrah manusia yang sukakan kecantikan tetapi ia perlu mengikut garis panduan yang lengkap agar matlamat asal untuk menutup aurat bersifat patuh syariah.
Dalam konteks ini, fesyen yang diperagakan perlu memenuhi kriteria seperti bersifat longgar, tidak menampakkan warna kulit dan mesti menutupi seluruh tubuh badan serta tidak ketat.
Situasi yang berlaku dalam kalangan remaja pada hari ini dapat diistilahkan sebagai al-tasyabbuh. Maksud al-Tasyabbuh dari segi istilah sebagaimana didefinisikan Imam al-Ghazali adalah usaha manusia untuk menyerupakan dirinya dengan sesuatu yang diinginkan, sama ada dalam tingkah laku, pakaian, atau sifat-sifatnya.
Manakala definisi lain ialah penyerupaan orang Muslim terhadap orang kafir dalam sesuatu perkara yang tidak termasuk dalam kategori maslahah yang mutabar (manfaat yang jelas faedahnya kepada manusia berdasarkan nas-nas syarak).
Justeru itu, penggayaan fesyen animasi dalam kalangan remaja perempuan Islam yang tidak menepati hukum Islam dan tidak membawa sebarang manfaat, bahkan membuka ruang kepada kemudaratan dari aspek jenayah seksual atau kemaksiatan dalam kalangan remaja perlu dijauhi.
Pemilihan fesyen perlu diperhalusi agar pemakaian tersebut tidak menampakkan susuk badan, bersolekan secara berlebihan (tabarruj), dan seterusnya boleh menjurus ke arah kemaksiatan.-UTUSAN
DR. ARIYANTI MUSTAPHA
Jabatan Fiqh dan Usul,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya (UM)










