Petani perlu sedia berubah

Petani perlu sedia berubah

PALING penting sekarang ialah kesediaan masyarakat petani sendiri untuk menerima apa sahaja bentuk perubahan yang dirancang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai langkah kerajaan merancang beberapa projek mega dalam sektor pertanian melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM5 bilion seharusnya diterima dengan penuh rasa syukur oleh masyarakat petani di negara ini.

Semasa berucap merasmikan Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro-pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor baru-baru  ini, Perdana Menteri berkata di antara projek yang dirancang ialah projek raksasa tanaman padi fasa pertama yang akan menekankan ke arah peningkatan hasil padi bagi pesawah terlibat untuk menaikan taraf hidup mereka.

Katanya, dalam usaha tersebut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memberi fokus terhadap peningkatan pengeluaran padi beras negara.

Ternyata sekali apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri itu adalah untuk memastikan tahap kehidupan para petani ditingkatkan jauh melebihi dari apa yang ada selama ini.

Paling penting sekarang ialah kesediaan masyarakat petani sendiri untuk menerima apa sahaja bentuk perubahan yang dirancang.

Para petani seharusnya menyambut baik jaminan Perdana Menteri dalam memudahkan mereka mendapat bekalan benih dan baja padi.

Menurut Anwar, amalan lama mengimport baja dan benih padi secara kartel dan monopoli harus dihentikan serta merta, tidak boleh dimonopoli oleh mana-mana pihak lagi.

Apa yang diharapkan dari jaminan tersebut, para petani akan lebih mudah mendapat benih dan baja padi pada kadar harga yang tidak membebankan mereka.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga segala perancangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu akan menjadi kenyataan dan mencapai sasaran sebenar.

Jika perkara ini berjaya, bukan sahaja taraf hidup golongan petani dapat dipertingkatkan, malah Malaysia akan berkemampuan menghasilkan beras sendiri untuk keperluan rakyat.-UTUSAN

 

RAMLI ISMAIL

Kangar, Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN