SAUDARA PENGARANG,
SEBAGAI rakyat biasa, saya ingin menyampaikan ucapan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai lawatan rasmi menteri-menteri ke luar negara bagi mengelak berlaku pembaziran wang.
Dalam merealisasikan hasrat tersebut, Perdana Menteri mengarahkan semua menteri membentangkan laporan kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum dibenar mengadakan lawatan rasmi ke luar negara.
Anwar mendedahkan beliau pernah membatalkan lawatan rasmi menteri ke luar negara yang dilihat membawa anggota delegasi dengan jumlah tidak sepatutnya.
Menjelaskan lebih lanjut, Perdana Menteri berkata ada pameran kecil di Paris, tetapi beliau melihat daripada kakitangan kementerian dan agensi-agensi berkenaan adalah 68 orang yang berdaftar untuk pergi.
Anwar berkata beliau mengambil satu keputusan yang tegas dengan membatalkan seluruh lawatan itu walaupun tiket penerbangan dan hotel sudah disediakan.
Sehubungan dengan itulah, Perdana Menteri menegaskan mulai sekarang menteri-menteri yang hendak membuat lawatan rasmi ke luar negara perlu bentang kepada Jemaah Menteri sama ada diluluskan atau sebaliknya.
Memang benar sebagaimana dikatakan oleh Anwar, kalau ada program sedemikian boleh disekalikan dengan lawatan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri yang mana sesuatu memorandum persefahaman (MoU) boleh ditandatangani sekali bagi menjimatkan belanja.
Media melaporkan Perdana Menteri menyatakan demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Darus-salam, Puchong, Selangor baru-baru ini.
Sehubungan dengan itulah saya sekali lagi mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri dan bersetuju dengan pendiriannya bahawa setiap ringgit yang dibelanjakan perlu berhati-hati kerana ia adalah wang rakyat.-UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis










