SAUDARA PENGARANG,
DI sebalik aura kesedaran Islam yang dirasakan semakin meningkat dalam kalangan masyarakat Melayu, timbul pula kekhuatiran agama itu akan tampil sebagai agen pembebasan, yakni pembebasan manusia dari diskriminasi dan ketidakadilan berlandaskan kasta, ras, kelas serta perkauman bahkan cuba dicemarkan citranya oleh para pejuang semangat asabiyyah yang taksub.
Ini menyebabkan Islam disalah ertikan seolah-olah membenarkan peremehan, penghinaan dan bersikap diskriminasi lagi tidak adil terhadap bangsa atau penganut agama lain. Atas tanggungjawab dakwah berteraskan rahmatan lil alamin, kita sewajarnya menampilkan Islam dalam wajahnya yang asli, dalam menyingkap fenomena kemajmukan yang tampak semakin berkecamuk. Kita tidak boleh bersifat narsisme terhadap kelebihan diri dan satu kelompok lagi bersifat cauvinis. Hal ini bakal menghalang perpaduan antara kaum malah meminggirkan semangat perpaduan yang diterapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dengan nisbah penduduk Islam 60 peratus dan bukan Islam 40 peratus dari 32 juta penduduk Malaysia, maka perlunya sifat kepercayaan antara satu sama lain dalam mengurus kemajmukan. Perlunya sifat kasih sayang dan kebersamaan dalam mengharungi kehidupan yang mencabar. Ini kerana, saling mengenal, memahami dan saling membantu adalah ramuan terbaik dalam hidup bermasyarakat yang bertamadun tinggi.
Oleh yang demikian, pendekatan fiqh al-ta’ayush (hidup bersama) menjadi idea penting dalam menguruskan kepelbagaian seperti di Malaysia. Di sini mengambil kira etnik dan agama berbeza terhadap kehidupan masyarakat minoriti bukan Islam di negara majoritinya Islam sangat relevan bagi mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan hidup.
Dari aspek kenegaraan, Perlembagaan adalah satu bentuk perjanjian bagi warganegara yang mendiami sesebuah negara. Begitulah juga bagi individu yang melaksanakan tanggungjawab dan menuntut haknya seperti yang diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebagai timbal-balik, setiap warganegara perlu menghormati dan memenuhi tuntutan dalam Perlembagaan tersebut.
Selain itu, bersikap adil adalah sebahagian prinsip yang perlu dijunjung dan dilaksanakan dalam mengurus kepelbagaian pandangan dalam kalangan masyarakat. Seringkali berlaku ketidakadilan jika wujud sifat berlebihan bagi mempertahankan sesuatu kelompok.
Oleh itu, sikap berat sebelah demi kepentingan atau kehendak sesuatu kaum hendaklah dielakkan, tetapi haruslah berlapang dada dalam mengembalikan jalan kebaikan yang bersesuaian dengan tuntutan syarak. Doktrin Islam telah menyumbang kepada prinsip persaudaraan antara kaum apatah lagi dalam kalangan orang Islam sendiri.
Hubungan antara kaum diikat dengan cara saling bergantungan antara yang lain dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, pendidikan dan sosial. Hal ini akan membawa kepada pemahaman terhadap prinsip insaniyyah (kemanusian) yang menjadikan manusia lebih bersifat penyayang, rasa kekitaan sekali gus membuang sifat kebencian, rasa iri hati dan diskriminasi.
Justeru itu, kehidupan bermajmuk yang merangkumi kepelbagaian kaum dan agama dalam suatu kawasan tidak dapat dinafikan. Sudah menjadi lumrah, kemajmukan wujud di serata dunia, malahan hal ini menjadi keunikan kepada Malaysia. Kepentingan hubungan antara etnik dan kaum sering diketengahkan demi menjaga keharmonian negara. Perpaduan tidak mustahil, namun begitu hal ini memerlukan kebijaksanaan dalam mengurus kepelbagaian dalam kehidupan bermasyarakat. Kesan pengurusan yang efektif akan dapat dinikmati jika dilaksanakan atas dasar syariat Islam sebagai agama untuk semua.-UTUSAN
DR. MOHD AMMYRUL ASHRAF SAIRAN
Universiti Utara Malaysia (UUM)









