SAUDARA PENGARANG,
ISU kemiskinan amat sukar untuk dihapuskan dan merupakan ancaman besar kepada masyarakat, terutamanya di negara membangun. Definisi dan alat pengukuran kemiskinan boleh mempengaruhi reka bentuk dasar serta program antikemiskinan yang dilaksanakan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ahli-ahli ekonomi bersependapat aspek kemiskinan tidak boleh dilihat hanya menerusi satu dimensi seperti kewangan semata-mata kerana pergantungan terhadap pendekatannya dalam pengukuran kemiskinan tidak mampu menggambarkan sepenuhnya sifat kemiskinan yang bersifat multidimensi.
Kemiskinan bukan sahaja melibatkan kekurangan pendapatan, tetapi juga ketidakupayaan untuk mengakses perkhidmatan asas seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur yang mencukupi. Oleh itu, pendekatan yang lebih menyeluruh diperlukan untuk memahami kemiskinan dalam konteks yang lebih luas.
Seiring dengan usaha untuk menganalisis kemiskinan dari perspektif multidimensi, Indeks Kemiskinan Multidimensi (IKM) global diperkenalkan pada 2010 melalui kerjasama antara Inisiatif Oxford untuk Kemiskinan dan Pembangunan Manusia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). IKM global bertujuan menilai kemiskinan akut di peringkat global dan menyokong Matlamat Pembangunan Milenium (MDGs) sebelum ini, serta selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang lebih terkini. IKM global mengukur kemiskinan dengan menilai tiga dimensi utama termasuk kesihatan, pendidikan dan taraf hidup, dengan menggunakan 10 indikator.
Matlamat utama pembangunan IKM Malaysia adalah untuk merangka satu kerangka kerja yang menyeluruh bagi menilai kemajuan golongan berpendapatan rendah di negara ini, dengan tujuan utama membantu mereka mencapai taraf hidup yang lebih baik dan akhirnya status kelas pertengahan. Melalui pendekatan ini, kerajaan dapat mengenal pasti cabaran yang dihadapi serta merangka strategi intervensi yang lebih berkesan dan disasarkan.
Dalam konteks yang lebih luas, terbukti bahawa konsep kemiskinan multidimensi dari perspektif konvensional moden berkait rapat dengan Maqasid Syariah. Walau bagaimanapun, pengukuran kemiskinan multidimensi menurut aliran konvensional moden perlu disesuaikan agar garis panduan syariah dan prinsip Islam dapat digabungkan secara konseptual mahupun kuantitatif.
Menurut perspektif Islam, institusi zakat memainkan peranan yang amat penting dalam mengenal pasti golongan asnaf fakir dan miskin serta mengagihkan dana zakat kepada penerima yang layak. Institusi zakat bertanggungjawab bukan sahaja dalam mengurus kutipan zakat, tetapi juga memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Pada masa ini, institusi zakat menggunakan kaedah Had Kifayah sebagai pendekatan kewangan utama untuk menilai kelayakan penerima zakat. Penggunaan pengukuran kemiskinan multidimensi ini boleh melengkapi kaedah sedia ada dengan memberikan gambaran yang lebih mendalam tentang pelbagai dimensi kekurangan yang dihadapi oleh asnaf. Ini akan membantu pihak berwajib memahami profil asnaf secara menyeluruh, termasuk faktor-faktor yang mempengaruhi kesejahteraan mereka di luar aspek pendapatan.
Seterusnya, maklumat ini boleh digunakan untuk merancang dan melaksanakan bentuk bantuan yang lebih tepat dan berkesan, seperti program peningkatan kemahiran, bantuan kesihatan atau sokongan psikososial.-UTUSAN
DR. MUHAMMAD NOORAIMAN ZAILANI
Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan
dan Ekonomi, Universiti Malaya










