Berusaha raih syafaat nabi

Berusaha raih syafaat nabi

BERSEMPENA dengan bulan kelahiran Nabi Muhammad, umat Islam diajak untuk memperbanyakkan ibadat bagi menghadapi waktu-waktu sukar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BULAN Rabiulawwal iaitu bulan kelahiran baginda Nabi Muhammad kini telah tiba. Pelbagai persiapan mula dilakukan untuk umat Islam mengambil iktibar daripada sirah kelahiran manusia teragung yang diutuskan sebagai pembawa rahmat kepada sekalian alam. Ini termasuklah program bacaan maulud nabi, ceramah agama dan tidak kurang juga dianjurkan aktiviti-aktiviti bersifat sosial dan kemasyarakatan yang dapat disertai oleh komuniti setempat. Semua ini dilakukan bagi menunjukkan tanda syukur atas pengutusan baginda Rasulullah yang membawa risalah Islam untuk menyelamatkan kehidupan manusia di dunia dan di hari akhirat.

Lebih dari itu, umat Islam pastinya berharap untuk mendapatkan syafaat teragung bagi menyelamatkan mereka pada hari kiamat. Syafaat ini juga dikenali sebagai syafaat al-kubra atau syafaat al-uzma yang merupakan pertolongan teragung dianugerahkan kepada Nabi Muhammad untuk menolong umatnya ketika di Mahsyar dan menyelamatkan mereka daripada masuk ke dalam neraka Allah. Syafaat inilah merupakan doa Nabi SAW yang ditangguhkan untuk membantu umatnya menghadapi kesulitan di hari kiamat.

Persoalannya bagaimana untuk meraih syafaat ini? Terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan oleh setiap muslimin antaranya banyak berselawat bagi mengingati Nabi Muhammad. Al-Tabrani meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud sesiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sebanyak 10 kali dan pada waktu petang 10 kali, ia akan memperoleh syafaatku pada hari kiamat.

Oleh itu, setiap individu Muslim diajak untuk memperbanyakkan selawat dan salam kepada junjungan nabi yang mulia. Banyakkanlah berselawat sebagai menunjukkan tanda cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Rasul yang mulia. Malah tidak bererti sambutan maulud nabi yang semarak diadakan di sana-sini kalau hanya ingat kepada nabi setahun sekali. Sedangkan orang yang paling banyak berselawat kepada nabi adalah orang yang paling dekatnya. Tidak dinafikan juga betapa selawat ke atas nabi mempunyai banyak manfaat dan kelebihan sehingga ia tidak selayaknya diremehkan.

Selain itu, sabda nabi yang bermaksud “Barangsiapa yang mendengar azan, kemudian dia membaca doa yang bermaksud Wahai Allah, Tuhan kepada panggilan sempurna ini dan solat yang didirikan, berikan kepada Nabi Muhammad kemuliaan dan keutamaan serta kurniakan kepada baginda tempat terpuji sebagaimana yang Engkau janjikan, maka dia akan mendapat syafaatku.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Justeru itu bersempena dengan bulan kelahiran Nabi Muhammad, umat Islam diajak untuk memperbanyakkan ibadat bagi menghadapi waktu-waktu sukar menjelang berlakunya hari kiamat. Kerana pada ketika itu, tiada sesiapa yang mampu menolong dan membantu kecuali Allah dan sesiapa yang diberikan keizinan oleh-Nya. Ini termasuklah syafaat al-kubra daripada nabi.

Allah berfirman yang bermaksud, “Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.” (Al-Muddaththir 74:48).

Semoga kita semua termasuk dalam kalangan orang yang akan beroleh syafaat daripada nabi dengan menunjukkan rasa cinta dan kasih yang tidak terhingga kepadanya. Amalkanlah juga segala sunnah warisan tinggalan nabi tanpa rasa jemu dan bosan agar beroleh kemuliaan dari-Nya.-UTUSAN

DR. MOHD ALI MUHAMAD DON
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS),

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN