Beri peluang atlet tercicir bertanding di Sukma 2026

Beri peluang atlet tercicir bertanding di Sukma 2026

BERI peluang atlet tercicir yang berbakat dan berkelayakan untuk bertanding di Sukan Malaysia (Sukma) 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK semua negeri dapat menghantar kontinjen yang lengkap untuk bertanding dalam semua acara di Sukan Malaysia (Sukma) 2024 kerana masalah tertentu. Masalah utama melibatkan kos pengangkutan.

Untuk itu, saya ingin mencadangkan agar Sukma 2026 nanti, pihak penganjur menambah satu kontinjen berkecuali selain kontinjen negeri, seperti mana yang dilakukan oleh penganjur Sukan Olimpik. Mereka menamakannya kontinjen pelarian.

Kontinjen berkecuali di Sukma 2026 boleh dinamakan Kontinjen Atlet Berkecuali Sukma ataupun kalau inginkan bantuan daripada kerajaan, berikan nama Kontinjen Madani. Atlet kontinjen berkecuali perlu mencari penaja masing-masing atau guna perbelanjaan sendiri jika mereka ingin menyertai acara ini.

Untuk mempromosikan produk, pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh menaja seorang dua atlet. Inilah masanya untuk menguji produk di lapangan, terutamanya produk kosmetik penjagaan kulit.

Atlet-atlet berbakat, terutamanya bagi acara individu seperti boling, catur, renang, badminton, padang dan balapan, yang tidak dapat mewakili negeri masing-masing, dipilih untuk mewakili kontinjen berkecuali ini. Pemilihan mereka ini berdasarkan kepada had kelayakan masa, jarak balingan, jarak dan ketinggian lompatan, pungutan mata serta ranking yang ditetapkan melalui kejohanan dan pertandingan sukan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan.

Manakala bagi atlet acara berpasukan yang kecil seperti sepak takraw, atlet daripada negeri yang tidak menghantar pasukan boleh digabungkan, misalnya, tekong servis kuda padu daripada negeri A, pengumpan bola lambung sesedap rasa daripada negeri B dan pelibas pari kencang daripada negeri C digabungkan sebagai pasukan sepak takraw kontinjen berkecuali. Sebarang pingat yang atlet kontinjen berkecuali menang di Sukma 2026 tidak akan dikira dalam jumlah pungutan pingat negeri asal tetapi dalam kontinjen berkecuali.

Dengan ini, atlet-atlet berbakat tidak akan dipinggirkan dan dapat menunjukkan kemampuan mereka.

Tambahan lagi, Kementerian Belia dan Sukan akan mempunyai satu ‘tabung’ bakat yang besar untuk dipilih mewakili negara dalam acara-acara sukan di peringkat antarabangsa.

Isu pakaian atlet juga menjadi polemik dalam Sukma dan kejohanan sukan lain. Selagi mana sesuatu pakaian itu tidak melanggar peraturan utama sesuatu acara, bersesuaian dengan acara dipertandingkan dan tidak mengganggu atlet lain yang bertanding, maka benarkanlah ia.

Misalnya, memakai jubah untuk acara terjun mungkin tidak sesuai kerana semasa atlet berdiri memang nampak kemuslimahannya tetapi ketika beliau terjun, bayangkanlah sendiri apa yang penonton boleh nampak. Mungkin ada penonton yang akan ikut terjun sekali.

Semoga pereka fesyen tempatan yang mana fesyen rekaannya telah diperagakan penyanyi merangkap pelakon Lady Gaga, sudi untuk menyumbang rekaan fesyen sukan muslimah untuk para atlet wanita muslim yang bersesuaian mengikut acara. Diharap pihak penganjur dapat bertolak ansur dalam menetapkan peraturan pakaian atlet di Sukma 2026 memandangkan ia dianjurkan dalam negara sahaja.

Demi semangat kesukanan, perpaduan dan kekeluargaan, saya menyarankan agar pihak penganjur memberi peluang kepada atlet tercicir yang berbakat dan berkelayakan untuk bertanding di Sukma 2026. Moga lebih banyak bakat baharu dapat dicungkil dan diketengahkan untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa kelak.-UTUSAN

MARISSA QT
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN