BATU Pahat, Johor memiliki jumlah penduduk sebanyak 500,000 orang dengan empat kerusi Parlimen.
Dengan pembangunan pesat di Parit Raja, Yong Peng, Tongkang Pechah serta Jalan Tanjung Laboh menyebabkan kesesakan lalu lintas semakin menjadi-jadi dan menjadi rungutan ramai.
Pembesaran jalan Parit Raja ke Ayer Hitam lambat disiapkan sekali gus menyulitkan pergerakan kenderaan ke pelbagai destinasi.
Kemalangan sering berlaku, terutama pada waktu malam.
Jalan Tongkang Pechah ke pusat bandar juga mengalami kesesakan teruk, ditambah dengan banyaknya kilang dan industri di situ. Jalan di situ perlu juga dilebarkan bagi menampung jumlah kenderaan.
Kehadiran lebih ramai warga Rohingya juga berlaku di sini dan mereka mengambil kesempatan mengendalikan kedai-kedai makan yang kemungkinan disewakan oleh penduduk tempatan. Pihak berkuasa perlu memantau situasi ini.
Jalan Seri Gading ke Parit Raja merupakan jalan yang lurus dan cantik, hingga mengundang kehadiran mat rempit untuk beraksi pada hari Jumaat dan Sabtu. Kehadiran mereka memang menakutkan pengguna jalan raya.
Di sesetengah tempat, seperti jalan ke arah Semerah, banyak pokok besar di kiri kanan jalan boleh membahayakan pengguna jalan raya. Sewajarnya pokok itu dicantas atau ditebang.
Beberapa tapak pasar malam diilihat terlalu sesak, sempit dan berada di tempat yang kurang sesuai. Contohnya di Parit Haji Sidek, Jalan Kluang.
Kehadiran kawasan rekreasi seperti di Minyak Beku, Tasik Y dan Taman Botani amat dialu-alukan dan menjadi tempat tumpuan untuk berehat pada hujung minggu.
Pihak berkuasa dan swasta perlu terus berusaha membangunkan Batu Pahat yang moden, indah dan sesuai didiami. Pembangunan terancang wajar diteruskan, terutama di kawasan luar bandar seperti Rengit, Seri Medan dan Ayer Hitam.-UTUSAN
MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat









