SAUDARA PENGARANG,
POLITIK mempunyai seninya tersendiri dan bersifat dinamik. Lagipun setiap individu, pemimpin atau ahli politik boleh berubah warna parti politik. Lazimnya isu dan politik menjadi tumpuan. Manakala manifestasi berakarkan dengki politik sukar untuk dihentikan apatah lagi mahu dihapuskan.
Hal demikian terbukti seperti mana yang kita saksikan pada masa sekarang yang dahulunya mereka berseteru atau bermusuh tetapi tidak lama kemudian mereka boleh berbaik sebagai rakan politik baharu. Sejak terjadinya ‘Langkah Sheraton’ tercetusnya politik yang ahli politiknya cuba bermain dengan angka.
Awasi juga mereka yang berani terjun ke pentas politik tetapi belum mendapat banyak pendedahan tentang asam garam berpolitik yang banyak rintangan serta cabaran. Antaranya di era digital yang membolehkan sejarah lama seseorang yang ingin menjadi calon bertanding akan dikorek sehingga ke lubang cacing.
Makanya itu, calon berkenaan perlu dilihat daripada keupayaan kepimpinannya mendampingi komuniti serta membantu menyelesaikan isu atau permasalahan setempat. Politik dengan mantera bercirikan faham, serta saling hormat dapat menghindarkan ahli menjadi batu api, melaga-lagakan bagi tujuan mencari populariti.
Justeru, transisi politik sangat diperlukan untuk anjakan paradigma baharu di era teknologi. Sekiranya terdapat pemimpin atau ahli politik yang menjadikan jambatan politik untuk kesenangan hidup dan bermewah harus dihumban jauh-jauh.-UTUSAN
MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang










