SAUDARA PENGARANG,
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) memuji pengumuman Suruhanjaya Pekerja Gig (GWC) yang akan mengutamakan perlindungan sosial, pertikaian kontrak dan kemajuan kerjaya bagi 1.16 juta pekerja gig di Malaysia.
Walaupun sebelum ini diumumkan Rang Undang-undang GWC akan dibentangkan di Parlimen pada Julai, tetapi ditunda ke Oktober.
Menubuhkan satu suruhanjaya bebas adalah cara yang betul. Walau bagaimanapun, kami bimbang mengenai cabaran yang akan dihadapi oleh suruhanjaya itu disebabkan sifat unik ekonomi gig dan persekitaran kawal selia yang sedia ada.
Salah satu halangan utama ialah klasifikasi status pekerjaan mereka yang betul sebagai sama ada pekerja (pekerjaan perkhidmatan) atau kontraktor bebas (pekerjaan bagi perkhidmatan).
Perbezaan ini mempengaruhi jenis faedah dan perlindungan yang mereka berhak terima, kerana kebanyakan pekerja gig dianggap sebagai kontraktor bebas.
Sebagai kontraktor bebas, pekerja gig tidak bekerja di bawah arahan majikan mereka, tidak perlu bekerja pada masa dan tempat tertentu, tidak disediakan dengan peralatan atau perlengkapan yang diperlukan bagi pekerjaan itu oleh majikan, tidak menerima gaji atau upah tetap dan tidak dilarang bekerja bagi majikan lain.
Undang-undang buruh sedia ada direka terutamanya bagi hubungan pekerjaan tradisional dan mungkin memerlukan pindaan penting untuk menyesuaikan dengan ekonomi gig.
Jika sistem faedah bagi pekerja gig dilaksanakan, satu mekanisme mestilah diwujudkan untuk memantau pematuhan, mengendalikan pertikaian dan memastikan bahawa faedah ditadbir dengan betul.
Ini memerlukan sumber pentadbiran dan infrastruktur yang penting. Memastikan semua syarikat ekonomi gig mematuhi peraturan baharu boleh menjadi satu cabaran, terutamanya bagi platform yang lebih kecil atau tidak formal.
Suruhanjaya juga mestilah meningkatkan kesedaran pekerja gig mengenai hak mereka dan bagaimana cara untuk mengakses faedah seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
KWSP membantu melindungi masa depan kewangan mereka dengan menyediakan simpanan persaraan, sementara Perkeso pula menawarkan perlindungan terhadap perbelanjaan perubatan akibat kemalangan atau kecederaan yang dialami semasa bekerja.
Sehingga Julai 2024, dilaporkan hanya kira-kira 250,000 (21.6 peratus) daripada 1.16 juta pekerja gig di negara ini menyumbang kepada Perkeso.
Kami menggesa kerajaan untuk menawarkan peluang latihan kemahiran kepada pekerja gig untuk meluaskan peluang bagi mendapatkan pekerjaan tetap jika mereka mahu memilihnya, walaupun peratusan daripada mereka sudah bekerja dengan baik dan hanya bergantung kepada kerja gig bagi mendapatkan pendapatan tambahan.
Kepentingan ekonomi gig tidak boleh terlepas perhatian. Seperti yang ditunjukkan oleh data Bank Dunia pada 2018, pekerja bebas membentuk sebanyak 25.3 peratus daripada jumlah tenaga buruh Malaysia dan ekonomi gig pula bertanggungjawab sebanyak 26 peratus daripada jumlah pertumbuhan ekonomi.-UTUSAN
MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang










