Pertahan institusi raja lambang taat setia tidak berbelah bagi

Pertahan institusi raja lambang taat setia tidak berbelah bagi

INSTITUSI beraja merupakan payung negara dan menjadi tonggak kedaulatan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEBAGAI rakyat, kita perlu sentiasa menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara kedua iaitu kesetiaan kepada raja dan negara.

Ini kerana negara akan kekal kukuh dan stabil jika seluruh rakyat menghormati serta tidak melakukan sebarang tindakan yang melebihi batas termasuk mempermainkan sama ada melalui ucapan, kenyataan mahupun tindakan yang dianggap mencabar institusi raja.

Ketaatan kepada pimpinan tertinggi negara sebagai Ulil Amri merupakan tuntutan agama Islam yang wajib diyakini dan dipatuhi dengan sebaiknya selari dengan firman Allah SWT bermaksud “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah SWT dan taatlah kamu kepada Rasulullah SAW serta kepada Ulil Amri (orang yang berkuasa dalam kalangan kamu)” (Surah An-Nisa ayat 59)

Sebahagian ulama berkata: “Kalaulah bukan kerana sultan atau pemerintah, maka sudah tentu para ulama tidak mampu untuk menyebarkan ilmunya, Qadhi tidak dapat melaksanakan hukumannya, orang yang rajin beribadat tidak dapat mengerjakan ibadahnya, orang yang bekerja di kilang tidak dapat melakukan penghasilannya, peniaga tidak mampu melaksanakan perniagaannya dan pekebun tidak mampu untuk bercucuk tanam. Ini disebabkan ketidakstabilan dan kebimbangan serta berlakunya pelbagai musibah dan kejahatan. (Kitab al-Masarrah wa al-Bisyarah fi Akhbar al-Sultanah wa al-Wizarah)

Kerajaan Perpaduan yang terbentuk kini adalah hasil kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 telah berjaya membina semula kekuatan negara pasca Covid-19. Dengan terbentuknya Kerajaan Perpaduan, ia dilihat telah mengukuhkan kembali ekonomi dan meningkatkan semula pendapatan rakyat.

Bahkan dengan usaha baginda itu dapat memastikan kemakmuran negara dapat dicapai. Kejayaan negara berjaya dibuktikan melalui dasar untuk memperkasakan rakyat dan menambah hasil pendapatan negara apabila beberapa dasar seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Dasar Pendigitalan dan Kecerdasan Buatan dan lain-lain lagi diwujudkan.

Selain itu, kerajaan juga berani membuat anjakan paradigma terhadap semakan gaji penjawat awam yang luar biasa selepas 12 tahun.

Kesemua limpahan rezeki dan nikmat anugerah Allah SWT ini perlu sentiasa disyukuri sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”. (Surah Ibrahim ayat 7)-UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI
Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN