Penjawat awam perlu bijak urus kewangan

Penjawat awam perlu bijak urus kewangan

KENAIKAN gaji adalah peluang yang baik untuk penjawat awam memperbaiki keadaan kewangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KENAIKAN gaji penjawat awam merupakan berita gembira yang amat dinantikan, terutamanya dalam suasana ekonomi yang mencabar sekarang.

Secara keseluruhan, pelarasan ini dijangka meningkatkan pendapatan penjawat awam antara 16.8 peratus hingga 42.7 peratus, menjadikannya perkembangan positif bagi kewangan mereka.

Data menunjukkan bahawa penjawat awam, terutamanya mereka yang berada di gred rendah, kerap kali bergantung kepada pinjaman peribadi untuk menampung keperluan asas.

Menurut laporan Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa), sebanyak 800,000 penjawat awam mengambil pinjaman peribadi dengan jumlah bayaran balik tahunan mencecah RM14.4 bilion.

Salah satu cara untuk mengawal hutang adalah dengan menetapkan had keberhutangan yang selamat, biasanya tidak lebih daripada 30 hingga 40 peratus daripada pendapatan bulanan. Ini akan memastikan baki pendapatan mencukupi untuk perbelanjaan harian dan simpanan.

Salah satu strategi utama adalah dengan memanfaatkan kenaikan gaji untuk melangsaikan hutang-hutang sedia ada, terutamanya hutang yang mempunyai kadar faedah yang tinggi, bukan mengambil pinjaman tambahan.

Sebaliknya, membuka akaun simpanan tetap atau melabur dalam instrumen pelaburan yang lebih menguntungkan seperti unit amanah atau saham. Pelaburan yang bijak boleh membantu meningkatkan tahap kewangan lebih baik dari masa ke masa.

Justeru, pihak kerajaan boleh menyediakan program pendidikan kewangan khusus untuk penjawat awam yang merangkumi aspek penting seperti pengurusan hutang, simpanan, pelaburan dan perancangan persaraan.

Pendidikan kewangan yang baik akan membantu penjawat awam membuat keputusan kewangan yang lebih bijak dan mengelakkan mereka daripada terjebak dalam masalah hutang.

Kerajaan juga boleh memperkenalkan skim pinjaman yang berpatutan bagi penjawat awam. Sebagai contoh, skim pinjaman dengan kadar faedah yang lebih rendah bagi membantu mereka yang memerlukan pinjaman untuk keperluan asas seperti pendidikan atau pembelian rumah. Skim ini boleh membantu mengurangkan beban kewangan penjawat awam dan memberi mereka lebih banyak ruang untuk menyimpan mahupun melabur.

Dengan sokongan kerajaan dan program pendidikan kewangan yang sesuai, penjawat awam boleh memanfaatkan kenaikan gaji ini untuk membina asas kewangan yang kukuh dan mencapai matlamat kewangan jangka panjang.

Data yang ada menunjukkan dengan perancangan yang teliti dan disiplin dalam pengurusan kewangan dapat mengelakkan masalah kewangan yang serius sekali gus mencapai kesejahteraan ekonomi yang berterusan.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MD FAUZI AHMAD
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN