Pengumuman keluar parti tamparan buat Bersatu

Pengumuman keluar parti tamparan buat Bersatu

KETIDAKPUASAN timbul apabila ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang setia terhadap perjuangan parti dinafikan peluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang bakal diadakan pada 17 Ogos ini memberi cabaran besar kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila semakin ramai ahlinya yang mengumumkan keluar parti secara terbuka.

Hal ini sebenarnya memberi kesan jangka panjang. Terbaharu, lebih 1,000 pimpinan dan ahli Bersatu membabitkan lapan cawangan di Jeli mengumumkan keluar daripada parti.

Situasi ini pasti akan menular ke banyak cawangan lain seluruh negara memandangkan Bersatu dilihat lesu dalam mengemukakan calon dari partinya sendiri dan terpaksa meminta ihsan Pas yang mempunyai ramai ‘anak lelaki’. Bahkan Pas terus dilihat mempunyai potensi untuk mengemudi jentera sedia ada.

Keadaan terdesak Bersatu itu menyebabkan Pas mengemukakan calon parti yang ‘dikorbankan’ demi memastikan Bersatu terus hidup. Namun keadaan ini mendatangkan situasi tegang dalam kalangan ahli Bersatu.

Ketidakpuasan timbul apabila ahli Bersatu yang setia terhadap perjuangan parti dinafikan peluang. Justeru, pengisytiharan ahli parti itu secara mengejut akibat kegopohan dalam merencanakan strategi membawa padah dan tidak mustahil ia akan berlarutan sehingga PRK Mahkota nanti.

Jika Perikatan Nasional (PN) kalah dalam PRK ini, ia sekali gus menjadi penanda aras terhadap hubungan antara gabungan parti yang ada.

Sementara itu, UMNO membuka peluang kedua buat bekas ahlinya yang sentiasa mahu kembali meneruskan perjuangan bersama parti untuk mengemudi Malaysia tercinta.

Keterbukaan UMNO itu dapat mengukuhkan kembali parti Melayu itu di persada dunia bersama-sama kepemimpinan Kerajaan Perpaduan yang dilihat semakin menonjol dari sudut urus tadbir, ekonomi dan keselesaan rakyat.-UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
Universiti Teknologi MARA cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×