SAUDARA PENGARANG,
SERING kali kita dengar dalam ucapan alu-aluan di sesuatu majlis pelancaran, di sidang media dan di acara yang memerlukan liputan media, pihak media dengan gahnya digelar sebagai rakan.
‘Selamat datang rakan-rakan media’ sering menjadi ungkapan rasmi pembuka bicara dalam sesuatu majlis. Bagi pengamal media veteran, ungkapan pemanis mulut tersebut sudah tidak memberi apa- apa makna. Nampak manis pada luaran sahaja buat seketika waktu. Berbeza dengan satu jaringan gol cantik yang akan diingati dan dikenang bagi suatu tempoh yang lama.
Setiap laporan media dalam akhbar mahupun dalam portal berita, telah melalui pelbagai semakan dan tapisan di beberapa peringkat sebelum ia lulus untuk disiarkan. Rakaman video, audio, gambar dan catatan bertulis disertakan sebagai bukti untuk setiap laporan. Semua itu dibuat semakan berkali-kali secara dalaman dan juga dengan rakan-rakan media daripada akhbar dan portal berita yang lain. Jadi, kebarangkalian berita yang disiarkan sebagai tidak tepat dan salah adalah tersangat-sangat kecil.
Namun, masih terdapat pihak yang mengatakan bahawa kenyataan mereka telah diputarbelit oleh pihak media walaupun terdapat rakaman video, audio, bukti dan saksi yang sahih, hanya kerana berita tersebut tidak memihak kepada mereka. Jika ini berlaku, adakah pihak media bukan lagi rakan kepada mereka dan akan diambil tindakan? Pihak media tidak akan sewenang-wenangnya menyiarkan sesuatu berita tanpa usul periksa terlebih dahulu. Mereka ada garis panduan dan etika yang perlu dipatuhi.
Sekarang ini, terlalu banyak peraturan dan larangan yang dikenakan ke atas pihak media. Janganlah anggap pihak media hanyalah rakan ketika diperlukan sahaja, ibarat habis madu sepah dibuang.
Berkatalah benar walaupun ia pahit. Itulah prinsip kewartawanan yang diamalkan oleh pihak media. Perkara dan perlakuan yang baik akan disokong, disanjung dan dipuji. Perkara dan perlakuan yang tidak elok tidak akan terus dikecam dan dikeji tetapi disembunyikan dan disenyapkan kerana adalah lebih baik tidak didedahkan aib seseorang itu kepada umum, kecuali jika perlu. Itulah sifat seorang rakan sejati dan bukannya sebagai ungkapan pelengkap ucapan sahaja.-UTUSAN
MARISSA QT
Kuala Lumpur










