Kerjaya wartawan penyiasatan berisiko tetapi masih beretika

Kerjaya wartawan penyiasatan berisiko tetapi masih beretika

WARTAWAN yang memilih untuk menceburi bidang penyiasatan dan menyamar (undercover) menghadapi pelbagai ancaman dari segi fizikal hingga kepada penapisan hak bersuara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERJAYA sebagai wartawan seringkali dilihat sebagai pekerjaan yang berprestij dan berpengaruh. Namun, di sebaliknya kekuasaan dalam menyampaikan kebenaran kepada masyarakat, tersembunyi risiko dan cabaran yang tidak diketahui oleh orang ramai.

Wartawan yang memilih untuk menceburi bidang penyiasatan dan menyamar (undercover) menghadapi pelbagai ancaman dari segi fizikal hingga kepada penapisan hak bersuara. Ini termasuk menerima ugutan bunuh dan serangan keganasan.

Di banyak negara, kerajaan mempunyai kawalan yang ketat ke atas media. Penapisan media boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk pengawalan terhadap kandungan yang boleh disiarkan atau diterbitkan. Di negara-negara rejim yang autoritarian, berita yang dianggap menentang kepentingan kerajaan atau yang boleh mencetuskan kritikan terhadap pemimpin biasanya akan ditapis.

Wartawan perlu memastikan mereka tidak melanggar undang-undang atau etika kewartawanan semasa menjalankan tugas. Mereka perlu menyeimbangkan antara mendapatkan maklumat penting dan menghormati hak-hak individu yang terlibat.

Dalam banyak kes, wartawan penyiasatan mungkin terpaksa membuat keputusan yang sukar tentang sejauh mana mereka boleh menyamar tanpa melanggar prinsip etika kewartawanan. Ini termasuk pertimbangan tentang privasi, kebenaran maklumat, implikasi sosial dan moral terhadap pendedahan yang dibuat.

Kerjaya sebagai wartawan, khususnya dalam bidang ini penuh dengan risiko kerana menyentuh isu sensitif seperti rasuah, jenayah terancang selain penyalahgunaan kuasa.

Oleh itu, sokongan dari kerajaan, organisasi media dan masyarakat amat penting bagi memastikan wartawan dapat melaksanakan tugas dengan berkesan dan selamat.

Perlindungan terhadap hak bersuara dan kebebasan media adalah asas penting untuk memastikan kebenaran dapat disampaikan. Dalam masa sama keadilan dapat ditegakkan dalam masyarakat.-UTUSAN

FAQIHAH MUHAMMAD FAUZI
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×