Jangan mudah lafaz Qunut nazilah kerana sifatnya khusus

Jangan mudah lafaz Qunut nazilah kerana sifatnya khusus

QUNUT nazilah merupakan doa khusus yang dibacakan dalam solat fardu apabila berlaku sesuatu tragedi dan peristiwa besar yang melanda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM Islam, ibadah adalah ketaatan, ketundukan dan kepatuhan hamba kepada Pencipta. Ketaatan dan ketundukan itu pula disyariatkan dalam pelbagai bentuk dan kaedah pelaksanaan. Salah satu bentuk ibadah kepada Allah SWT ialah dengan berdoa kepada-Nya.

Dari pelbagai bentuk permohonan ini, salah satu bentuk doa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW yang dilakukan Baginda ketika solat wajib ialah doa memohon pertolongan Allah selepas berlakunya sesuatu musibah dan tragedi yang besar atau dipanggil Qunut al-nazilah atau Qunut al-nawazil atau istilah yang biasa digunakan dalam bahasa Melayu iaitu Qunut nazilah.

Jika disoroti dalam Sahih al-Bukhari pula, Qunut nazilah dibacakan oleh Rasulullah SAW selama 30 pagi dalam solat Subuh selepas berlakunya tragedi besar Bi’r Ma’unah pada tahun ke-4H. Secara ringkasnya, Rasulullah telah mengutus 70 orang sahabat untuk menyebarkan Islam kepada penduduk Najd hasil permintaan Abu Bara’, ‘Amir bin Malik yang berjanji akan menjamin keselamatan mereka.

Para sahabat yang terlibat ini disebutkan dalam al-Rahiq al-Makhtum sebagai dari kalangan umat Islam terbaik, terhormat, pemimpin kaum dan ahli yang mahir tentang al-Quran. Dalam persinggahan mereka di Bi’r Ma’unah iaitu suatu lokasi antara perkambungan Bani ‘Amir dan Bani Sulaym, mereka dikepung dan kemudiannya dibunuh oleh Bani Sulaym dengan hanya seorang sahaja sahabat yang selamat. Pembunuhan beramai-ramai ini dilakukan walaupun mereka datang secara aman dengan tujuan yang baik.

Berita menyayat hati ini sampai kepada Rasulullah yang sangat berdukacita dengan apa yang berlaku kepada para sahabat Baginda. Apatah lagi ia berlaku hanya beberapa hari selepas tragedi pembunuhan yang juga menimpa sahabat Baginda di al-Raji’. Jumlah yang terkorban dalam tragedi Bi’r Ma’unah menyamai syuhada perang Uhud, namun apa yang membezakan ialah mereka dibunuh kerana pengkhianatan yang dilakukan. Oleh itu, Rasulullah SAW telah mendoakan kecelakaan terhadap kabilah yang terlibat dalam tragedi tersebut.

Berdasarkan huraian-huraian ini, jelas yang Qunut nazilah merupakan doa khusus yang dibacakan dalam solat fardu apabila berlaku sesuatu tragedi dan peristiwa besar yang melanda. Lafaz doa pula adalah berdasarkan musibah yang melanda, sama ada bala bencana, penyebaran wabak, serangan musuh dan lain-lain.

Dari Abu Darda’ RA berkata, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya apabila seorang hamba melaknat sesuatu, laknat itu akan naik ke langit, tetapi pintu-pintu langit akan tertutup di hadapannya. Kemudian laknat itu turun ke bumi, tetapi pintu-pintu bumi juga akan tertutup di hadapannya. Kemudian laknat itu akan berpusing ke kanan dan ke kiri dan jika tidak menemui tempat untuk pergi, ia akan kembali kepada orang yang melaknatnya. Jika orang yang dilaknat itu layak menerimanya, maka laknat itu akan jatuh kepadanya. Jika tidak, ia akan kembali kepada orang yang mengucapkannya.” (Riwayat Abu Dawud)-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHD. KHAIRUL NAIM CHE NORDIN
Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×