SAUDARA PENGARANG,
HARI Kemerdekaan tahun ini disambut dengan tema yang penuh makna iaitu Malaysia Madani: Jiwa Merdeka. Ia bukan sahaja menzahirkan semangat kebebasan dan kemerdekaan yang diperjuangkan oleh para pejuang tanah air dahulu, bahkan ia juga menunjukkan keteguhan rasa cinta terhadap negara yang menjadi sebahagian daripada iman seperti mana yang diajar oleh ulama Islam.
Ini dibuktikan oleh tindakan Rasulullah kerana kecintaan dan kerinduan baginda yang mendalam terhadap tanah air (Mekah) meskipun terpaksa berhijrah keluar menuju ke Madinah.
Maka jelaslah mencintai tanah air adalah sebahagian daripada fitrah manusia dan perkara yang digalakkan dalam Islam.
Allah dan Rasul-Nya menekankan betapa pentingnya kita untuk menjaga keamanan dan kemakmuran negara. Dalam sepotong ayat dalam surah al-Baqarah, ayat ke 126, Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah. Ayat ini menyentuh tentang kepentingan menjaga keamanan dan kemakmuran sesebuah negara yang mana ia menjadi satu keutamaan kepada setiap rakyat.
Doa Nabi Musa untuk kesejahteraan Mekah adalah manifestasi cinta baginda kepada tanah airnya. Inilah yang patut dicontohi oleh seluruh umat Islam terutamanya yang berada di bumi tercinta Malaysia ini.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmizi jelas menunjukkan bahawa mempertahankan harta, maruah, serta keselamatan negara juga merupakan sebahagian daripada jihad fi sabilillah. Pengorbanan untuk negara bukan sahaja dibenarkan dalam Islam, bahkan ia juga dianggap sebagai satu cara untuk kita mengabdikan diri kepada Allah.
Tema tahun ini adalah satu seruan untuk kita semua memperkukuhkan cinta kepada tanah air sebagai sebahagian daripada iman.-UTUSAN
ABDUL HADI ABD. AZIZ
Jabatan Bahasa Antarabangsa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










