SAUDARA PENGARANG,
SUKAN Olimpik Paris sudah melabuhkan tirai dan begitu banyak hal-hal yang diperkatakan oleh rakyat Malaysia. Ia termasuk pencapaian kita pada kedudukan 80 dan hanya membutirkan dua pingat gangsa.
Yang memedihkan, negara jiran, Filipina, Thailand dan Indonesia berada jauh di atas kita dan dapat merasa pingat emas. Begitu juga Hong Kong manakala Cuba dan Kenya begitu jauh di hadapan.
Projek Road To Gold kelihatan gagal dalam menghasilkan lebih banyak pingat. Kebergantungan kepada badminton dan lumba basikal sangat ketara, sedangkan banyak atlet kita bagai penumpang yang kesiangan.
Majlis Olimpik Malaysia perlu bangkit daripada kekecewaan ini. Mereka perlu segera membuat bedah siasat, agar kegagalan semasa, dapat ditebus pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Persatuan sukan perlu dikejutkan agar mengambil serius persiapan dan pencarian bakat baharu untuk diketengahkan. Sukan Malaysia dan Sukan SEA sepatutnya menjadi gelanggang menggilap bakat dan mencemerlangkan atlet. Jika tidak mampu memikul tugas, baik berundur sahaja.
Majlis Sukan Negara yang dahulu agak ke hadapan dalam membangunkan atlet, perlu menyusun langkah berkesan dalam pembangunan atlet kita.
Berbanding dengan banyak negara Afrika seperti Ethiopia, Kenya, Botswana dan Uganda, kemudahan dan pengurusan sukan kita sebenarnya berada lebih baik daripada mereka. Malah ada atlet mereka yang mempunyai alatan ala kadar untuk bertanding.
Seperkara lagi, bagi orang awam, mereka melihat persiapan dari segi mental atlet kelihatan tidak cukup efektif. Keghairahan untuk mengutip pingat perlu diseimbangkan dengan kesiapsagaan menghadapi dugaan dan cabaran sebelum dan semasa kejohanan.
Kejohanan Sukma yang berlangsung ketika ini, Sukan SEA di Thailand pada tahun hadapan dan Sukan Asia di Jepun pada 2026 sepatutnya menjadi medan memperkasa atlet kita sebelum Olimpik 2028.-UTUSAN
MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor










