SAUDARA PENGARANG,
PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dilihat sebagai ujian penting kepada kedua-dua belah pihak bagi kerajaan mahupun pembangkang. Pihak kerajaan melalui jentera kempen Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) perlu menyatakan dengan jelas isu-isu terkait dalam kempen yang dimainkan pihak PN melibatkan isu nasional seperti dasar penyasaran subsidi diesel dan isu peningkatan kos sara hidup.
Isu tempatan yang diketengahkan adalah masalah air yang dihadapi penduduk sejak enam tahun lalu adalah isu tempatan yang popular. Jentera kempen PH-BN perlu memperjelaskan isu-isu berkenaan sekiranya ingin mengambil kembali kerusi DUN Sungai Bakap yang dikuasai PH sejak 2008 hingga tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 kepada calon Pas dari Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 1,563 undi.
Cabaran PH-BN berikutnya adalah untuk meyakinkan rakyat tentang dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan untuk menangani kos sara hidup rakyat. Laungan keadilan sosial semata-mata tidak mencukupi tanpa disusuli dengan peningkatan bantuan kepada kumpulan sasar. Di sinilah perlunya jentera kempen PH-BN untuk memperjelaskan lagi dasar-dasar kerajaan kepada pengundi.
Cabaran paling besar PH-BN adalah untuk menarik kembali sokongan sebahagian besar pengundi UMNO/BN yang telah mengubah haluan memberi undi kepada PN dalam PRN yang lalu. Keupayaan PH-BN untuk menarik kembali pengundi UMNO-BN adalah penting sebagai satu petanda aras kerjasama di peringkat tertinggi PH-BN direstui ahli akar umbi parti. Inilah cabaran yang menjadi beban terbesar kepada pakatan PH-BN ketika ini. PRK Sungai Bakap akan menjawab persoalan sama ada PH berjaya atau tidak menarik sokongan undi Melayu berbanding PN, terutamanya sokongan pengundi UMNO, adakah akan beralih semula kepada kerajaan madani, atau kekal menyokong PN.
Jika sokongan padu dari PH dan dengan kembalinya pengundi UMNO/BN sepertimana dalam PRK Kuala Kubu Baharu, kemungkinan besar PKR akan berjaya merampas semula kerusi DUN Sungai Bakap dari Pas yang mewakili PN. DUN Sungai Bakap mempunyai pengundi Melayu membentuk majoriti yang mewakili hampir 59.4 peratus, disusuli kaum Cina (22.5 peratus) dan India (17.8 peratus) manakala 0.7 peratus adalah lain-lain kaum.
Di pihak PN pula, kerusi DUN Sungai Bakap ini perlu dikekalkan penguasaannya untuk menyatakan kepada pihak lawan, aura gelombang hijau pada PRN lalu masih lagi relevan dalam arus politik semasa.
Keputusan PRK nanti dijangkakan terkait dengan kemampuan parti yang bertanding untuk mengeluarkan akar umbi dan pengundi-pengundi putih mereka untuk keluar mengundi pada 6 Julai nanti.
Kesetiaan ahli akar umbi dan pengundi putih parti masing-masing bakal menjadi penentu kemenangan. Jika PH-BN menang, ia merupakan petanda bahawa sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinannya semakin kuat sementelah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagaimana dilaporkan dalam akhbar menyatakan BN akan bekerjasama dengan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.-UTUSAN
NADZIR AWANG AHMAD@SAID
Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis










