SAUDARA PENGARANG,
AMATLAH penting untuk menyediakankeperluan latihan yang berfokus serta cekap dan berkesan dalam pasaran buruh negara kita. Perkara ini cukup penting agar Malaysia dapat meningkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa serta merapatkan jurang kemahiran terutamanya dalam sektor digital.
Pembangunan modal insan yang holistik akan menjadikan seseorang individu itu lengkap dengan kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerja semasa.
Oleh itu, kerjasama pelbagai pihak, iaitu antara industri, akademik dan individu sangat penting dalam merealisasikan hal ini. Ketiga-tiga pihak ini adalah saling berkaitan bagi meningkatkan kualiti latihan untuk rakyat Malaysia.
Bagi menjayakan ini, seramai 380,000 peserta telah mengikuti Minggu Latihan Kebangsaan atau National Training Week (NTW) yang meliputi segenap lapisan masyarakat yang diadakan pada bulan Jun yang lalu.
Para peserta NTW ini terdiri daripada golongan kanak-kanak seawal usia empat tahun hingga warga emas yang berusia 73 tahun. Pembelajaran sepanjang hayat menjadi objektif utama penganjuran program ini dengan menawarkan lebih 65,000 kursus percuma kepada semua rakyat Malaysia.
Melalui NTW juga, kerajaan komited untuk memperkasakan rakyat Malaysia melalui pelbagai inisiatif latihan yang menyeluruh, membolehkan mereka memainkan peranan aktif dalam memajukan pertumbuhan dan kesejahteraan negara, melangkaui peranan sebagai peserta semata-mata.
Cita cita Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) adalah untuk memenuhi gagasan Ekonomi Madani, iaitu untuk menaikkan siling dan lantai pasaran buruh. Perkara ini dapat direalisasikan melalui dasar dan program serta aktiviti peningkatan kemahiran (upskilling) dan pemahiran semula (reskilling) untuk seluruh tenaga buruh.
Justeru itu, tidak mustahil, negara dapat membangunkan sebuah sektor latihan kemahiran tempatan yang bertaraf dunia dalam ekosistem industri berteknologi tinggi di Malaysia selari dengan kehendak dan keperluan semasa.
Tambahan pula, Malaysia kini dikenali sebagai destinasi industri semikonduktor global yang juga memberi nilai tambah dan berperanan penting dalam membangun dan memacu ekonomi negara.
Dalam hal ini, industri semikonduktor sangat memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi. Oleh yang demikian, sektor ini membantu membangunkan bakat tempatan melalui pelbagai program pendidikan dan latihan yang disokong oleh pihak kerajaan dan industri. Ini merupakan salah satu objektif pelaksanaan NTW untuk membentuk tenaga kerja Malaysia yang benar-benar mahir dan berkualiti tinggi.
Sehubungan dengan itu, usaha kerajaan untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan ilmu dan kemahiran kerja untuk masa hadapan perlu mendapat kerjasama kedua-dua pihak, iaitu industri dan individu.
Kesinambungan kepada pembangunan bakat ini pula perlu dipadankan dengan peluang pekerjaan yang inklusif kepada peserta rakyat Malaysia.
Dengan ini, Malaysia akan sentiasa bersedia dalam menghadapi perubahan permintaan buruh pada setiap masa di samping sentiasa dapat melahirkan ramai buruh atau tenaga kerja yang berkualiti yang kompeten, cekap dan produktif bukan setakat di peringkat Malaysia tetapi juga di persada antarabangsa.
Ini sekali gus akan memacu ekonomi Malaysia pada tahap lebih baik pada masa akan hadapan dan pada masa yang sama meningkatkan reputasi pekerja Malaysia sebagai antara terbaik di peringkat dunia. – UTUSAN
ARIFF NAJMI
Kolej Yayasan UEM (KYUEM)










