SAUDARA PENGARANG,
UMUM mengetahui, dunia kini berada dalam era pasca normal iaitu menggambarkan suatu keadaan transisi atau perpindahan zaman yang penuh ketidakpastian. Era pasca normal adalah era ketika manusia sedang menjalani kehidupan yang dikatakan sebagai tempoh masa yang begitu getir dan mencabar terutamanya bagi golongan muda.
Dalam hal ini, generasi muda perlu menerokai ilmu baharu yang berimpak dan bernilai tinggi dengan tidak hanya pakar dalam sesuatu bidang, namun mengetahui atau mahir berkenaan dengan asas dalam pelbagai skop yang berbeza.
Dahulu, seseorang itu hanya perlu memiliki segulung ijazah untuk bekerja, namun hal ini sudah tidak begitu relevan. Hal ini kerana majikan kini memerlukan pekerja yang mempunyai kemahiran insaniah dan mempunyai pemahaman menyeluruh dalam melakukan tugasan. Ini termasuk mahir berkomunikasi dan kepimpinan. Kerana itu, amat penting untuk menyediakan keperluan latihan yang berfokus serta cekap dan berkesan dalam pasaran buruh negara.
Perkara ini cukup penting agar Malaysia dapat meningkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa serta merapatkan jurang kemahiran terutamanya dalam sektor digital.
Pembangunan modal insan yang holistik akan menjadikan seseorang individu itu lengkap dengan kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerja semasa. Oleh itu, kerjasama pelbagai pihak, iaitu antara industri, akademik dan individu sangat penting dalam merealisasikan hal ini. Ketiga-tiga pihak ini adalah saling berkaitan bagi meningkatkan kualiti Latihan untuk rakyat Malaysia.
Bagi menjayakan hal ini, seramai 380,000 peserta mengikuti Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) yang meliputi segenap lapisan masyarakat yang diadakan pada bulan lalu.
Melalui NTW juga, kerajaan komited untuk memperkasakan rakyat melalui pelbagai inisiatif latihan yang menyeluruh, membolehkan mereka memainkan peranan aktif dalam memajukan pertumbuhan dan kesejahteraan negara, melangkaui peranan sebagai peserta semata-mata.
Dengan ini, Malaysia akan sentiasa bersedia dalam menghadapi perubahan permintaan buruh pada setiap masa di samping sentiasa dapat melahirkan ramai buruh atau tenaga kerja yang berkualiti yang kompeten, cekap dan produktif bukan setakat di peringkat Malaysia tetapi juga di persada antarabangsa.
Ini sekali gus akan memacu ekonomi negara pada tahap lebih baik pada masa hadapan dan pada masa yang sama meningkatkan reputasi pekerja Malaysia sebagai antara terbaik di peringkat dunia.-UTUSAN
ARIFF NAJMI
Kolej Yayasan UEM (KYUEM)










