Heboh keputusan SPM hanya beri tekanan kepada pelajar, guru

Heboh keputusan SPM hanya beri tekanan kepada pelajar, guru

MENGHEBOHKAN keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara berlebih-lebihan menjadikan peperiksaan ini seolah pertandingan antara individu, sekolah, daerah dan negeri. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENCAPAIAN sekolah dalam peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sering kali dihebohkan oleh pelbagai pihak. Tindakan ini menimbulkan pelbagai persoalan tentang kewajarannya.
Ini kerana keputusan peperiksaan bukanlah seperti perlawanan bola sepak yang perlu diuar-uarkan, sebaliknya, hak peribadi setiap individu untuk melihat perkembangan dan kemajuan dalam setiap subjek yang diambil.
Menghebohkan keputusan peperiksaan secara berlebih-lebihan menjadikan peperiksaan ini seolah pertandingan antara individu, sekolah, daerah dan negeri. Ini menambah tekanan kepada guru, yang sering kali dianggap bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pencapaian pelajar.

Tidak wajar membandingkan peratusan dan Gred Purata Sekolah (GPS) antara sekolah-sekolah yang mempunyai latar belakang pelajar yang berbeza.
Sekolah yang menerima pelajar bermasalah sudah tentu mempunyai cabaran yang lebih besar berbanding sekolah yang memilih pelajar cemerlang. Oleh itu, perbandingan ini tidak adil dan hanya menambah tekanan guru dan pelajar.

Peranan kaunselor, guru dan ibu bapa perlu diperkukuh untuk membantu pelajar menentukan hala tuju pendidikan seterusnya. Dengan ini, pelajar akan mendapat sokongan yang diperlukan untuk membuat keputusan tepat mengenai masa depan, tanpa merasa tertekan dengan perbandingan pencapaian yang dihebohkan.

Menghebohkan pencapaian juga boleh membawa kepada masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar.
Selain itu, pencapaian yang dihebohkan juga boleh membawa kepada budaya negatif dalam kalangan pelajar. Mereka mungkin merasa terpaksa untuk bersaing secara tidak sihat demi menjaga reputasi sekolah dan mendapatkan pengiktirafan. Ini boleh mengurangkan minat belajar yang sebenar dan menjadikan pendidikan lebih bersifat mekanikal.

Keputusan peperiksaan sepatutnya dilihat sebagai alat untuk menilai perkembangan individu, bukan sebagai alat untuk perbandingan awam. Setiap pelajar mempunyai keunikan dan cara pembelajaran yang berbeza. Oleh itu, pencapaian mereka juga perlu dinilai secara individu dan bukan secara kolektif yang membandingkan mereka dengan orang lain.

Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan, fokus utama sepatutnya diberikan kepada pembinaan nilai-nilai positif dalam diri pelajar, bukannya pencapaian akademik semata-mata.
Dengan ini, kita dapat melahirkan generasi yang lebih seimbang dari segi akademik dan juga emosi. – UTUSAN

AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Taman Alam Impian, Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×