Buli siber boleh membunuh

Buli siber boleh membunuh

JANGAN berdiam diri sahaja sekiranya menjadi mangsa buli siber kerana anda berhak mendapatkan keadilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

HARI ini mangsa buli bukan sahaja dilihat melalui kecederaan fizikal semata-mata, tetapi melalui alam siber boleh mengakibatkan kecederaan mental dan emosi sehingga mangsa bertindak membunuh diri.

Perbuatan menghina, mencaci yang dilakukan bukan sahaja dilarang oleh agama Islam tetapi agama-agama lain kerana boleh menyakiti individu lain. Seorang pakar ilmuan agama pernah menyebut, “Saya tidak takut dengan keyboard warriors, tetapi takut dengan keyboard sinners.”
Mangsa buli kebiasaannya akan berhadapan dengan kecederaan emosi yang teruk, isu berkaitan psikologi, trauma dan sebagainya.

Jadi, jika anda menjadi mangsa buli, maka boleh ambil tiga langkah ini agar kekal tenang dan sedar tentang emosi yang mereka alami.

Pertama adalah berundur (retract), iaitu berundur seketika daripada perbuatan yang kita lakukan. Contohnya, jika waktu itu mangsa buli siber berada dalam situasi yang tegang, berundur seketika dapat memberikan ruang masa pada diri agar dapat bertenang. Gunakan masa ini untuk lakukan teknik pernafasan yang betul yang akan memberi kelegaan pada badan, pemikiran dan membantu untuk kekal fokus.

Kedua, berfikir semula (rethink) adakah perkataan yang disebutkan atau penulisan orang lain sebenarnya dapat memberikan kesan pada diri? Ketahuilah tiada siapa pun yang dapat membuat apa-apa sekiranya anda tidak membenarkan ia berlaku. Sebagai contoh, sekiranya anda diejek atau dicemuh, ambil masa untuk tenangkan diri dan anda akan menjadi lebih jelas dan rasional.

Anda lebih faham bahawa orang yang membuli itu sebenarnya mempunyai isu dengan diri mereka dan menzahirkan dengan cara penulisan atau percakapan terhadap orang lain. Jadi, ambillah masa yang lebih lama sekiranya anda perlu bertenang dan berfikir secara rasional.

Ketiga respon dengan memberi tindak balik yang positif serta bersesuaian mengikut situasi dan keadaan yang berlaku. Sekurang-kurangnya kita dapat mengelakkan diri daripada bertingkah laku mengikut kehendak emosi, perasaan dan pemikiran yang negatif.

Sekiranya anda berasa sedih atau marah, tidak salah untuk validasi perasaan tersebut dan bangkit semula untuk menjadi lebih resilien dalam mendepani sebarang masalah.

Jadi pesanan buat semua berhati-hati dalam melontarkan kata-kata, jangan kerana lidah badan binasa dan jangan kerana mulut membuatkan orang lain terasa.

Buat masyarakat semua kita perlu mengambil cakna dengan keadaan orang sekeliling kita. Berikan bantuan, laporkan kepada pihak berkuasa atau bawa mereka untuk dapatkan bantuan daripada ahli profesional supaya mendapat kesejahteraan dari segi fizikal, emosi dan juga mental.

Jangan berdiam diri sahaja, sekiaranya menjadi mangsa buli siber kerana anda berhak mendapatkan keadilan.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. AZMAWATY MOHAMAD NOR dan NUR NADHIRAH MAT NAWI
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×