Budaya sopan, adab semakin pudar

Budaya sopan, adab semakin pudar

NILAI-NILAI tradisional seperti berbudi bahasa dan hormat-menghormati kadangkala diatasi oleh gaya hidup yang lebih mengutamakan kepentingan diri dan mementingkan kepantasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK dahulu, masyarakat di Malaysia sentiasa mementingkan sifat sopan santun dan adab sebagai sifat asas yang menggalakkan perhubungan sosial yang harmoni. Seperti yang ditunjukkan oleh dimensi budaya Hofstede, negara-negara di Asia Tenggara kebanyakannya mempamerkan jurang yang amat tinggi dalam kalangan masyarakat, terutama melibatkan urusan pekerjaan dalam mana-mana organisasi.

Pekerja cenderung mempunyai rasa takut atau hormat terhadap mereka yang lebih berkuasa yang mewujudkan sikap kesopanan. Begitu juga dengan rakyat Malaysia secara amnya mengakui semua individu dalam masyarakat harus mempunyai nilai hormat-menghormati terhadap orang lain, terutamanya bagi mereka yang lebih tua atau lebih berpengalaman dalam kehidupan. Keadaan ini dapat dilihat terutamanya dalam suasana keluarga, di universiti mahupun sekolah.

Namun begitu, budaya sopan santun yang sepatutnya diteruskan ini menunjukkan trend yang membimbangkan, terutama dalam kalangan golongan muda di Malaysia. Perubahan ini menimbulkan kebimbangan tentang apakah faktor-faktor yang mempengaruhi norma masyarakat dan masa depan hubungan interpersonal di Malaysia.

Beberapa faktor boleh menyumbang kepada keadaan ini. Apabila negara beralih kepada masyarakat dengan gaya hidup yang moden, nilai-nilai tradisional seperti berbudi bahasa dan hormat-menghormati kadangkala diatasi oleh gaya hidup yang lebih mengutamakan kepentingan diri dan mementingkan kepantasan dalam menguruskan pelbagai perkara sehingga mengabaikan adab dan kesopanan dalam urusan seharian.

Salah satu faktor penting adalah kesan terhadap penggunaan media sosial dan teknologi yang kian meluas. Walaupun kemudahan komunikasi digital tidak boleh diketepikan, namun kemahiran hubungan secara bersemuka kian terjejas. Sikap dan adab sopan yang diperoleh melalui hubungan bersemuka mungkin terjejas disebabkan komunikasi melalui internet.

Persekitaran keluarga dan sistem pendidikan juga memainkan peranan penting. Kadangkala, tumpuan yang mendalam terhadap kejayaan akademik mengatasi kepentingan nilai-nilai murni dan tingkah laku baik yang perlu ada di rumah dan bilik darjah.

Sekiranya tingkah laku dan berbudi bahasa tidak diperkukuh secara konsisten sejak dari usia muda, golongan muda mungkin mengalami kesukaran untuk memahami nilainya dalam interaksi seharian.

Situasi ini menimbulkan kerisauan kepada golongan pendidik terutama guru dan pensyarah memandangkan interaksi antara mereka dengan pelajar secara dalam talian telah sedikit sebanyak menghakis budaya sopan santun dan menghormati orang lain.

Antara contoh yang menjadi semakin ketara adalah tindakan memotong barisan ketika beratur dan juga membuat bunyi bising di tempat awam tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Jika berterusan, ia mampu memberi kesan kepada budaya di tempat kerja kelak. Interaksi yang sopan antara rakan dan pekerja di tempat kerja dapat memupuk sifat saling membantu serta bekerja dalam satu kumpulan dengan lebih produktif.

Bagi memperbaiki situasi yang membimbangkan ini, usaha bersepadu pada pelbagai peringkat diperlukan. Sistem pendidikan yang membina karakter melalui pengukuhan komunikasi yang baik, memupuk sifat empati dan rasa hormat-menghormati boleh diterapkan dalam institusi pendidikan. Bagi mengukuhkan prinsip ini di luar bilik darjah, ia boleh bermula dari didikan keluarga dan komuniti dalam memainkan sedikit peranan dan bimbingan ke arah yang positif.-UTUSAN

DR. FAIZ MASNAN
Pensyarah Kanan
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN