Bimbang ‘kecanduan’ anak muda pada vape

Bimbang ‘kecanduan’ anak muda pada vape

PENGGUNAAN vape dilihat meningkat 600 peratus dalam tempoh 12 tahun dengan golongan berusia 15 hingga 24 tahun adalah pengguna paling tinggi. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DI awal kemunculannya, ada yang memberi alasan bahawa menghisap rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape adalah sebagai ‘ikhtiar’ untuk meninggalkan tabiat menghisap rokok tembakau. Alasan keduanya, vape adalah rokok yang lebih ‘sihat’ kerana tidak menggunakan tembakau sebagai sumber penghasilan asap dan ketiga, penjimatan kewangan kerana boleh diguna untuk tempoh masa yang panjang.

Sememangnya vape atau pelbagai nama manjanya yang lain di pasaran seperti e-cigs, mod, e-hookahs, pod ataupun vape pen tidak menggunakan tembakau sebaliknya cecair kimia berperisa tetapi masalahnya kebanyakan cecair ini juga sebenarnya mengandungi nikotin. Faktanya, sehingga kini, tidak ada dinyatakan dalam protokol perubatan yang menggariskan penggunaan vape sebagai satu kaedah dalam membasmi isu ketagihan serta keburukan rokok.

Dengan dampaknya pada kesihatan sudah terang lagi bersuluh, kewujudan vape juga sebenarnya menghadirkan satu lagi kesan lain yang tidak kurang memeningkan kepala untuk ditangani. Vape menjadi punca kepada peningkatan lebih ramai perokok baharu. Lebih dikesalkan, perokok baharu ini dalam kalangan usia yang masih mentah, seawal anak kecil di bangku sekolah rendah lagi.

Jadi tidak pelik dan menjadi suatu yang biasa dilihat, kanak-kanak dan pelajar sekolah semakin berani dan tiada lagi segan silu menghembus asap vape di khalayak awam. Ditambah pula memiliki dan menghisap vape juga ibarat satu trend yang menjadi ikutan.

Dari usia yang masih muda, pelajar sekolah, mahasiswa di institusi pendidikan tinggi, golongan profesional sehinggalah kepada Yang Berhormat sekalipun, tidak lekang dengan vape masing-masing yang tergantung di leher atau di kocek seluar.

Jika disandarkan pada realiti data kajian, kewujudan vape seperti langsung tidak berjaya mengurangkan bilangan perokok dalam negara sebaliknya menambahkan lagi luka yang sudah sedia parah, inilah kebenarannya.

Memetik dapatan tinjauan yang dibuat oleh Kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023 yang melibatkan 4,269 responden, menunjukkan penggunaan vape meningkat daripada 0.8 peratus pada 2011 kepada 5.8 peratus tahun 2023.

Penggunaan vape dilihat meningkat 600 peratus dalam tempoh 12 tahun dengan golongan berusia 15 hingga 24 tahun adalah pengguna paling tinggi. GATS juga melaporkan pengguna rokok elektronik melibatkan lebih ramai orang muda dengan kumpulan usia 15 hingga 24 tahun yang meningkat kepada 8.6 peratus pada 2023 berbanding 1.1 peratus pada 2021.

Saya mengharapkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang diwartakan pada Februari lalu dan dikuatkuasakan mulai Jun menjadi titik mula kepada pengawalan yang lebih berkesan terhadap penjualan dan penggunaan vape di Malaysia.

Akta ini akan menguatkuasakan undang-undang larangan jualan rokok elektronik atau vape kepada individu di bawah umur dan melalui akta ini, pastinya yang ingin lebih dilihat adalah kesannya kepada penurunan penggunaan rokok dan vape dalam kalangan rakyat Malaysia.

Namun ia tidak harus terhenti dengan akta ini semata-mata, Malaysia sebenarnya masih memerlukan undang-undang tembakau baharu yang lebih komprehensif walaupun tanpa peruntukan generasi penamat rokok (GEG).-UTUSAN

MOHD ZAINI OTHMAN
Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi
dan Setiausaha Badan Kebajikan Kakitangan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×